Thursday, March 25, 2010

HUJAN OH HUJAN

Hujan rahmat melimpahi bumi Pasir Gudang.
Setelah sekian lama kemarau dan rumput-rumput dah bertukar warna coklat, kebakaran semak-samun di sana sini, akhirnya hujan turun hampir setiap hari di bumi Pasir Gudang. ALHAMDULILLAH.
Tetapi manusia ini kadangkala tidak pernah bersyukur dengan anugerah ALLAH. Dah dapat hujan, katanya leceh sebab susah nak keluar pergi kerja, anak-anak nak gi sekolah, kain tak kering dan mengganggu aktiviti seharian. .
Kemarau berpanjangan merungut pulak sebab badan berpeluh, rimas, air-cond kena pasang berpanjangan (itupun kalau rumah ada air-cond), nanti bil TNB naik, ada aje yang tak kena.  

Berikut adalah sebahagian daripada ayat-ayat dalam Al-Quran tentang hujan bagi orang-orang yang BERFIKIR DAN BERIMAN.

1) TQS Al-Araf 7:57
"Dan Dialah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan ia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya)". (57) 

2)  TQS Al-An'am 6: 99
"Dan Dialah yang menurunkan hujan dari langit lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah) yang bergugus-gugus dan dari pohon-pohon tamar (kurma), dari mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaitun serta buah delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan. Perhatikanlah kamu kepada buahnya apabila ia berbuah dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang beriman." / (99) 

3) TQS Yunus 10: 24
"Sesungguhnya bandingan kehidupan dunia hanyalah seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit, lalu (tumbuhlah dengan suburnya) tanaman-tanaman di bumi dari jenis-jenis yang dimakan oleh manusia dan binatang bercampur-aduk dan berpaut-pautan (pokok-pokok dan pohonnya) dengan sebab air itu hingga apabila bumi itu lengkap sempurna dengan keindahannya dan berhias (dengan bunga-bungaan yang berwarna-warni) dan penduduknya pun menyangka bahawa mereka dapat berbagai-bagai tanaman serta menguasainya (mengambil hasilnya) datanglah perintah Kami menimpakannya dengan bencana pada waktu malam atau pada siang hari lalu Kami jadikan ia hancur-lebur, seolah-olah ia tidak ada sebelum itu. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu berfikir (dan mengambil iktibar daripadanya)" (24)



RUTIN KEMBALI LAGI

Esok dah pun hari Jumaat. Maknanya dah seminggu anak-anak naik sekolah semula dan rutin harian kembali seperti biasa. Bagi para ibu yang tidak bekerja di luar, mungkin akan terasa kesunyian kerana keriuhan suara anak-anak tidak kedengaran lagi especially bila semua anak-anak sekolah pagi serentak. 
Dan mungkin juga akan bertambah sibuk dengan rutin menghantar/mengambil anak-anak sekolah. Sekolah kebangsaan, sekolah agama, kelas mengaji dan kelas tuisyen. Itulah IBU. Orang yang paling awal bangun dan paling lewat tidur.
Keseronokan anak-anak kembali ke sekolah terbayang jelas di wajah-wajah comel mereka. Dapat jumpa cikgu, dapat jumpa kawan, dapat buat homework dan esok dapat worksheet untuk kerja hujung minggu. Lepas tu cuti lagi 2 hari. Jeng-jeng, mana nak pergi ya.....

GANGGUAN INTERNET

HARAP MAKLUM

Website TPB tidak dapat diakses semenjak pagi tadi. Kerja-kerja penyelenggaraan sedang dilakukan dan semoga dapat dipulihkan dengan kadar segera.
Segala kesulitan amatlah dikesali dan terimakasih di atas kesabaran tuan/puan.


Tuesday, March 16, 2010

CUTI SEKOLAH DATANG LAGI....

Memang menyeronokkan buat anak-anak kerana rutin harian mereka selama seminggu ini dapat "direhatkan" seketika.
Memang memeningkan ibubapa apatah lagi yang berkarier kerana akan keluarlah dari mulut anak-anak mereka
"boringlah duduk kat rumah aje".
Jadi untuk memenuhi permintaan anak-anak ini, mungkin ramai di antara ibubapa yang mengambil cuti untuk cuti-cuti malaysia, tapi takkanlah sampai seminggu ya!
Mungkin panduan ini sedikit sebanyak akan dapat membantu para ibubapa bagi memanfaatkan cuti sekolah anak-anak. Sila baca di SINI


HALALAN TOYYIBAH

Hati-hati walaupun ada logo halal

Itulah tajuk utama majalah Milenia Muslim Edisi Mac. Banyak info-info dan fakta-fakta yang tidak kita ketahui disebalik makanan @ minuman yang ada di dapur-dapur rumah kita. Ana sekadar ingin berkongsi kerana makanan yang halal lagi baik ini adalah yang dituntut oleh syarak seperti firman Allah SWT 
TQS Al-Baqarah: 168:
 "Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu."
 TQS Al-Maidah: 88:
"Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik dan bertakwalah kepada Allah yang kepadaNya sahaja kamu beriman. "
Peranan kita sebagai ibu dan bapa adalah untuk memastikan bahawa makanan dan minuman yang diberikan kepada  anak-anak adalah halalan toyyibah  kerana kadangkala tanpa kita sedari, makanan @ minuman ini yang sering kita berikan kepada anak-anak.
Dan pada masa yang sama juga waktu ana mencari info-info, terjumpa fakta yang menarik ini. Baca di SINI
Kemungkinan besar juga sebahagian dari kita pun dah pernah singgah di tempat ini, almaklum ajelah, berjiran dengan kawasan tempat tinggal kita.
Semoga sedikit info ini menjadi pedoman dan membuahkan kePEKAan pada diri kita sendiri dan kawan-kawan jika dikongsi bersama-sama.




Saturday, March 13, 2010

SELAMAT PENGANTIN BARU














Tahniah buat kedua-dua mempelai.
Nurlaila binti Mohd. Sukor (Gurubesar Taman Kota Masai 2) dan pasangannya Mohamad Syah bin Hj. Zainal yang telah melangsungkan perkahwinan pada hari ini 13 Mac. 2010 di kediaman beliau di Taman Bukit Dahlia.
Kami di TPB mendoakan agar perkahwinan ini membawa berkat sehingga ke akhir hayat dan dapat menjalani kehidupan berumahtangga dalam keadaan aman damai.


Friday, March 12, 2010

PESAN ORANG JAUH..

Salam,
Kita orang kat dalam kapalterbang. On the way dari Pakistan ke Jeddah. Sekarang pukul 6.30. Pengalaman yang menyeronokkan kat sini. Doakan perjalanan kita orang lancar dan dipermudahkan di Madinah dan Mekah nanti. Kirim salam untuk semua...  

Begitulah SMS yang masuk ke HP ana malam tadi.  SMS dari Cikgu Fiza dan Cikgu Asiah yang dalam perjalanan mengerjakan umrah. 
Mereka telah berangkat ke sana pada 10 Mac lepas selama 2 minggu. Alhamdulillah dalam usia yang masih muda, dah dapat peluang mengerjakan ibadah umrah.
Alhamdulillah, tahun ini giliran mereka pula yang dipilih untuk menjadi tetamu Allah  setelah hajat tahun lepas tak kesampaian. Terbayang kebimbangan, keseronokan dan kegembiraan, apatah lagi bila ditaja oleh TPB.
Kami di TPB juga mendoakan agar cikgu berdua selamat pergi dan balik. Selain dari meningkatkan ketakwaan  dan keimanan, mudah-mudahan umrah ini menjadi momentum kepada perubahan yang hakiki.

ANAK-ANAK YANG DITINGGALKAN

Innalillahiwainnailaihirajiun

Takziah buat anak murid TPB cawangan Taman Scientex 1, Nursyahidah Binti Azhar di atas pemergian bonda tercinta pada 10 mac lepas. Ana dapat tahu dari Gurubesar TS1 pada petang itu dan jenazah dikebumikan di Johor Bahru. Tak  dapat  dibayangkan kesedihan anak-anak bila kehilangan ibu tempat bermanja tetapi itu adalah sunnatullah, setiap yang hidup, akan datang ajalnya, samada cepat @ lambat, bukan kuasa manusia untuk menentukannya.
Takziah juga buat Encik Azhar dari kami semua warga Pintar Bistari. Semoga ketabahan dan kesabaran bersama-sama Encik dalam menghadapi dugaan Allah ini.


Friday, March 5, 2010

BILA IMAN TIDAK DAPAT DIWARISI...

Kebetulan terjumpa artikel ini, sesungguhnya iman tidak dapat diwarisi.......

Anak pengasas Hamas derhaka, tidak takut mati






NEW YORK - Mosab Hassan Yousef iaitu anak salah seorang pengasas pergerakan Hamas menegaskan bahawa dia tidak takut mati selepas mengaku menjadi pengintip untuk sebuah agensi perisikan Israel.
"Secara jujurnya, dibunuh bukanlah perkara paling buruk yang boleh terjadi. Jika mereka mahu membunuh saya, biarkan. Mereka akan bertanggungjawab ke atas darah saya," katanya pada satu temu ramah yang disiarkan kelmarin.
Di dalam buku mengenai kisah hidupnya iaitu Son of Hamas, Mosab yang berusia 32 tahun dan merupakan anak seorang pengasas Hamas, Sheik Hassan Yousef mendakwa dia ialah aset terbaik agensi keselamatan Shin Bet milik Israel dan digelar sebagai Putera Hijau.
Sepanjang temu bual selama 50 minit itu, Mosab yang datang bersama pegawai keselamatan bersenjata mengkritik para pemimpin Hamas termasuklah ketua politiknya, Khaled Meshaal.
Dia mengutuk Hamas, menyatakan bahawa organisasi itu hidup pada zaman pertengahan.
Mosab yang kini menjadi penganut Kristian kemudiannya mengeluarkan komen paling biadap dengan menyifatkan Islam ialah agama yang mengajar manusia untuk membunuh.
Dia mula berkhidmat dengan Shin Bet selepas dia ditangkap dan menyaksikan kekejaman anggota Hamas di penjara
Apabila dibebaskan pada tahun 1997, dia mula berhubung dengan Shin Bet dan berjinak-jinak dengan agama Kristian.
Dia beranggapan boleh melakukan kebaikan dengan menghalang kematian penduduk Israel dan Palestin.
"Saya mendapat peluang untuk menghentikan pembunuhan," katanya.
Di dalam bukunya, Mosab dengan jelas menyatakan kepentingan dirinya buat Shin Bet.
Dalam bukunya itu dia menyatakan merangka sendiri misi-misinya termasuklah memperdayakan Khaled yang tinggal di Damsyik.
"Saya sangat sukakan kerja-kerja perisikan ini, terutama apabila perisik Israel menunjukkan jalannya.
"Dengan cara ini, satu saluran komunikasi yang baru dijalin dengan Damsyik, walaupun Khaled tidak tahu bahawa percakapannya didengar oleh Shin Bet," tulisnya.
Pada Isnin lalu, bapanya yang dipenjara selama enam tahun di sebuah penjara Israel tidak lagi menganggap Mosab sebagai anaknya.
Bapanya membuat keputusan itu selepas Mosab mendedahkan dia menjadi pengintip untuk agensi perisikan Israel dan keluar daripada agama Islam.
Namun, Mosab tidak berkecil hati.
"Saya tahu isi hatinya. Bapa saya seorang yang penyayang. Dia tidak akan membuang saya. Pada satu masa nanti, kami akan bersatu kembali. Saya sayangkan bapa dan dia sayangkan saya," katanya yang kini menetap di AS. - AP





ANAK-ANAK UNTUK DISAYANGI

Berita terbaru dan isu panas. Baca di SINI
Anak-anak untuk disayangi bukan untuk disakiti. Begitulah isu-isu tentang penderaan kanak-kanak sehingga menyebabkan kematian. Kalaupun tidak sampai membawa maut tetapi banyak kes-kes penderaan menimbulkan trauma dan fobia, gangguan emosi kepada anak-anak yang mengalaminya. Bagi segelintir ibubapa, ini caranya mereka "mengajar anak-anak" tetapi perlu diingat, adakah segala tindakan yang dibuat untuk "mengajar anak" ini berbaloi dengan implikasi yang diterima selepas itu?
Sebagai ibubapa yang diberi amanah Allah ini, sama-samalah kita memikirkannya....
Penyelesaian bagi kes-kes seperti ini, baca di SINI


INILAH KEMAMPUAN MEREKA

Alhamdulillah, keputusan ujian lepas telahpun diuploadkan ke website tadika. Ada ibubapa yang gembira kerana anak-anak dapat markah cemerlang, tak kurang juga yang sedih kerana awal-awal tahun lagi, markah dan merah. 
Inilah kemampuan mereka. Jangan dilihat kepada berapa markah yang mereka dapat tetapi matlamat ujian ini adalah untuk mengukur sejauh mana anak-anak dapat memahami apa yang mereka telah belajar selama ini.
Dari ujian ini juga, pihak pengurusan dapat mengenalpasti kelemahan-kelemahan yang memerlukan tindakan-tindakan susulan bagi memastikan prestasi pembelajaran anak-anak ini meningkat.
Sebenarnya kami di pihak pengurusan sudah maklum tentang kelemahan anak-anak ini dan di antara langkah-langkah yang diambil adalah dengan menelefon ibubapa, berjumpa dan berbincang permasalahan anak dengan mereka.
Dengan pantauan secara konsisten samada melalui REKOD BACAAN @ pantauan terhadap guru, segala permasalahan anak dikenalpasti dan di dalam pengetahuan pihak pengurusan.
Tahniah kepada anak-anak yang cemerlang & berjaya,  berusaha terus berusaha kepada yang kurang cemerlang.