Wednesday, November 19, 2008

HARI ANUGERAH CEMERLANG 2008

Dek kerana ketiadaan masa luang, ana tak berkesempatan bercerita tentang Hari Anugerah Cemerlang yang berlangsung di Dewanraya Masai pada Ahad, 9 November 2008 yang lepas. Walaupun semenjak subuh lagi hujan membasahi bumi, tetapi acara ini tetap dihadiri oleh ahli keluarga anak-anak Tadika Pintar Bistari, dari baby hinggalah kepada atuk nenek. Mungkin teruja untuk melihat persembahan akhir anak-anak 6 tahun ini dipentas sebagai pengakhir kepada alam persekolahan di tadika. Juga sebagai perangsang kepada penerima-penerima hadiah 5 & 6 tahun agar mereka lebih berusaha ke arah kejayaan di masa-masa akan datang. Dewan yang besar itu padat dengan tetamu yang melebihi seribu orang dan kawasan meletak kereta menjadi masalah yang besar apatah lagi dengan hujan yang tidak menampakkan akan reda.
Acara tahunan yang ke-10 ini dimeriahkan lagi dengan jemputan khas warga emas dari Flat Taman Cendana seramai 15 orang dan lagi 5 orang tidak dapat menghadirkan diri atas masalah kesihatan. Mereka diarak dengan bunga manggar dan paluan kompang dari pintu masuk utama hinggalah ke depan dewan. Ana dapat merasakan betapa besar hati mereka menerima sambutan yang sedemikian rupa, apatah lagi dengan keadaan kehidupan mereka yang serba kekurangan dan mungkin tidak dipedulikan oleh saudara mara dek kerana kesusahan hidup mereka. Selepas menyaksikan beberapa persembahan dari anak-anak tadika, giliran mereka pula menerima sumbangan berbentuk makanan dan kewangan dari pihak pengurusan Pintar Bistari sebelum mereka beredar pulang lebih kurang pukul 10 pagi.
Pada masa yang sama, Tabung Derma Warga Emas diedarkan kepada hadirin dan dengan penuh kesyukuran, dalam masa lebih kurang 15 minit tabung bergerak dari satu tangan ke satu tangan, pihak kami berjaya mengutip sebanyak RM755.20. Disini juga ana ingin mengucapkan jutaan terima kasih di atas keikhlasan hadirin yang menderma dan semoga rezeki anda semua akan sentiasa melimpah ruah di masa-masa akan datang. Dengan sumbangan ini, makanan dan kewangan akan diagih-agihkan kepada warga emas yang lain pula dalam masa yang terdekat ini.
Sewaktu menghantar warga emas ini menaiki bas untuk pulang ana berdoa semoga program sebegini akan dapat diteruskan pada tahun-tahun yang berikutnya. Pihak pengurusan juga sempat menghulurkan wang biaya berkhatan untuk 2 orang kerana walaupun sudah melebihi umur 14 tahun tetapi mereka masih belum berkhatan dek kerana kemiskinan. Bagaimana nak berkhatan kalau nak makan pun masih tak kecukupan.
Berbalik kepada acara tadi, anak-anak dari 6 cawangan membuat persembahan tarian, boria, koir, nasyid, drama muzikal, aerobik, dikir barat dan lain2. Walaupun mereka berlatih selama 3 minggu sahaja iaitu selepas peperiksaan semester 2, tetapi berkat kegigihan guru-guru mentor yang memberi tunjuk ajar tanpa jemu, persembahan mereka bagus ditambah dengan kostum yang berwarna-warni. Kalau adapun salah silap atau lupa lirik tu, mungkin kerana tergamam di atas pentas melihat hadirin yang ramai di depan sana tu....Persembahan diselang-selikan dengan penyampaian hadiah kecemerlangan anak-anak 5 & 6 tahun.
Acara berjalan dengan lancar walaupun terdapat kes kecemasan sesak nafas kerana kurang oksigen dek kerana kepadatan yang melampau di dewan ini. Insyaallah, sekiranya biaya mencukupi, tahun depan kenalah ana cari tempat yang lebih besar lagi.
Kepada semua yang menjayakan acara ini, guru-guru, ibubapa yang memberi kerjasama juga kepada penyumbang wang untuk program ini, ana megucapkan jutaan terima kasih yang tak terhingga. Tanpa sokongan semua, mungkin acara yang sebegini tidak mencapai hasil yang membanggakan.
Dan juga sekarang ana dalan proses akhir menyiapkan CD Hari Anugerah dan kepada yang berminat untuk mendapatkannya, akan dimaklumkan kemudian nanti.
Akhir kalam, ana teringat kepada pantun penutup acara ini

Kalau ada jarum yang patah,
Jangan disimpan di dalam peti,
Kalau ada silap dan salah,
Jangan disimpan di dalam hati.

Layang-layang terbang melayang,
Terbang melayang di tepi perigi,
Kalau ada umur yang panjang,
Insyallah kita bersua lagi.

No comments:

Post a Comment