Bertarikh 12 Julai 2009, seawal jam 7-30 pagi lagi, sudah ramai ibubapa berkumpul di Dewanraya Masai untuk memberi semangat kepada anak-anak yang menyertai pertandingan ini yang telah dibuat saban tahun sebagai program tahunan. Pada tahun ini, guru-guru cawangan Tmn. Scientex 1 & 2 bergabung tenaga membuat backdrop bertajuk: "In the zoo"
Seperti biasa, pengerusi Tadika Pintar Bistari, Tn. Hj. Ahamed Tamizi berucap dan meminta hadirin sama-sama menyedekahkan Al-Fatihah kepada allahyarham anak beliau, Ziza Amirul Shafiq yang telah pulang ke rahmatullah pada 16 Jun 2009. Seterusnya beliau merasmikan pertandingan ini.
Pertandingan ujiminda ini terbahagi kepada 4 kategori iaitu Bahasa Melayu, Science, Mathematics dan Jawi/Pendidikan Islam yang terdiri daripada gabungan murid-murid 6 tahun dari 7 cawangan Tadika Pintar Bistari bagi setiap kategori. Di pertandingan ini dapat disaksikan kepantasan dan kepintaran murid-murid menjawab soalan dalam setiap kategori. Soalan yang diajukan oleh pembaca soalan terdiri daripada pelajaran-pelajaran yang murid telah pelajari sepanjang semester 1 lepas.
Sementara pertandingan bercerita pula terdiri dari murid-murid 5 & 6 tahun yang membawakan cerita Bahasa Melayu dan Inggeris dengan pelbagai kostum yang menarik. Juga dipersembahkan cerita oleh Adik Uswatun iaitu bekas murid Tadika Pintar Bistari yang mendapat tempat kedua dalam Pertandingan Bercerita Sekolah Rendah Peringkat Negeri Johor. Sementara menunggu keputusan kedua-dua pertandingan, hadirin disajikan dengan persembahan tarian murid-murid 5 tahun dari semua cawangan. Dan pastinya hadirin terhibur dengan gerak-geri sicilik ini.
Alhamdulillah, pertandingan ini berjalan dengan lancarnya dan program ini usai lebih cepat dari yang dirancangkan. Terima kasih kepada semua guru-guru yang bertungkus lumus menjayakan pertandingan ini, juga kepada semua ibubapa yang turut hadir sama memberi sokongan kepada anak-anak dan tidak lupa kepada para pengadil jemputan yang terdiri dari guru-guru dari Sek. Keb. Taman Cendana.
No comments:
Post a Comment