Wednesday, November 19, 2008

HARI ANUGERAH CEMERLANG 2008

Dek kerana ketiadaan masa luang, ana tak berkesempatan bercerita tentang Hari Anugerah Cemerlang yang berlangsung di Dewanraya Masai pada Ahad, 9 November 2008 yang lepas. Walaupun semenjak subuh lagi hujan membasahi bumi, tetapi acara ini tetap dihadiri oleh ahli keluarga anak-anak Tadika Pintar Bistari, dari baby hinggalah kepada atuk nenek. Mungkin teruja untuk melihat persembahan akhir anak-anak 6 tahun ini dipentas sebagai pengakhir kepada alam persekolahan di tadika. Juga sebagai perangsang kepada penerima-penerima hadiah 5 & 6 tahun agar mereka lebih berusaha ke arah kejayaan di masa-masa akan datang. Dewan yang besar itu padat dengan tetamu yang melebihi seribu orang dan kawasan meletak kereta menjadi masalah yang besar apatah lagi dengan hujan yang tidak menampakkan akan reda.
Acara tahunan yang ke-10 ini dimeriahkan lagi dengan jemputan khas warga emas dari Flat Taman Cendana seramai 15 orang dan lagi 5 orang tidak dapat menghadirkan diri atas masalah kesihatan. Mereka diarak dengan bunga manggar dan paluan kompang dari pintu masuk utama hinggalah ke depan dewan. Ana dapat merasakan betapa besar hati mereka menerima sambutan yang sedemikian rupa, apatah lagi dengan keadaan kehidupan mereka yang serba kekurangan dan mungkin tidak dipedulikan oleh saudara mara dek kerana kesusahan hidup mereka. Selepas menyaksikan beberapa persembahan dari anak-anak tadika, giliran mereka pula menerima sumbangan berbentuk makanan dan kewangan dari pihak pengurusan Pintar Bistari sebelum mereka beredar pulang lebih kurang pukul 10 pagi.
Pada masa yang sama, Tabung Derma Warga Emas diedarkan kepada hadirin dan dengan penuh kesyukuran, dalam masa lebih kurang 15 minit tabung bergerak dari satu tangan ke satu tangan, pihak kami berjaya mengutip sebanyak RM755.20. Disini juga ana ingin mengucapkan jutaan terima kasih di atas keikhlasan hadirin yang menderma dan semoga rezeki anda semua akan sentiasa melimpah ruah di masa-masa akan datang. Dengan sumbangan ini, makanan dan kewangan akan diagih-agihkan kepada warga emas yang lain pula dalam masa yang terdekat ini.
Sewaktu menghantar warga emas ini menaiki bas untuk pulang ana berdoa semoga program sebegini akan dapat diteruskan pada tahun-tahun yang berikutnya. Pihak pengurusan juga sempat menghulurkan wang biaya berkhatan untuk 2 orang kerana walaupun sudah melebihi umur 14 tahun tetapi mereka masih belum berkhatan dek kerana kemiskinan. Bagaimana nak berkhatan kalau nak makan pun masih tak kecukupan.
Berbalik kepada acara tadi, anak-anak dari 6 cawangan membuat persembahan tarian, boria, koir, nasyid, drama muzikal, aerobik, dikir barat dan lain2. Walaupun mereka berlatih selama 3 minggu sahaja iaitu selepas peperiksaan semester 2, tetapi berkat kegigihan guru-guru mentor yang memberi tunjuk ajar tanpa jemu, persembahan mereka bagus ditambah dengan kostum yang berwarna-warni. Kalau adapun salah silap atau lupa lirik tu, mungkin kerana tergamam di atas pentas melihat hadirin yang ramai di depan sana tu....Persembahan diselang-selikan dengan penyampaian hadiah kecemerlangan anak-anak 5 & 6 tahun.
Acara berjalan dengan lancar walaupun terdapat kes kecemasan sesak nafas kerana kurang oksigen dek kerana kepadatan yang melampau di dewan ini. Insyaallah, sekiranya biaya mencukupi, tahun depan kenalah ana cari tempat yang lebih besar lagi.
Kepada semua yang menjayakan acara ini, guru-guru, ibubapa yang memberi kerjasama juga kepada penyumbang wang untuk program ini, ana megucapkan jutaan terima kasih yang tak terhingga. Tanpa sokongan semua, mungkin acara yang sebegini tidak mencapai hasil yang membanggakan.
Dan juga sekarang ana dalan proses akhir menyiapkan CD Hari Anugerah dan kepada yang berminat untuk mendapatkannya, akan dimaklumkan kemudian nanti.
Akhir kalam, ana teringat kepada pantun penutup acara ini

Kalau ada jarum yang patah,
Jangan disimpan di dalam peti,
Kalau ada silap dan salah,
Jangan disimpan di dalam hati.

Layang-layang terbang melayang,
Terbang melayang di tepi perigi,
Kalau ada umur yang panjang,
Insyallah kita bersua lagi.

Sunday, November 16, 2008

MASA OH MASA

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Yang berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran"
Surah Al-Asr (1~ 3)
Inilah surah yang diajarkan kepada anak-anak di tadika. Bukan sekadar lafaz semata tetapi untuk diamalkan. Masa datang dan pergi dan tak akan kembali lagi. Begitu cepat masa berlalu dan sedar tak sedar kita dah berada di pertengahan November. Sekolah dah mula bercuti tetapi di Tadika Pintar Bistari kami masih ada seminggu lagi untuk bersama anak-anak. Sayang melepaskan mereka bercuti sementelah di tadika banyak perkara yang boleh diajar walaupun peperiksaan dah tamat apatah lagi pada anak-anak 6 tahun yang akan menjejaki alam persekolahan darjah 1 di sekolah kebangsaan.
Namun begitu, ilmu tidak akan kami biarkan begitu saja. Bermula 1 Disember nanti, kami akan menerima anak-anak baru dalam program Pra-tadika kami yang akan dibuat di semua cawangan Tadika Pintar Bistari. Dan anak-anak ini sememangnya akan lebih teruja untuk belajar di tadika dan berjumpa dengan cikgu-cikgu baru. "SELAMAT DATANG SAYANG"

TERIMA KASIH CIKGU

Sewaktu sedang berbincang tentang perancangan tadika 2009, SMS masuk ke handphone Cikgu Tamizi. "TQ cikgu.....Kerana jasa cikgu, anak saya Ameer Mustaqim dapat 5A."
Hari itu, 13 November 2008, keputusan UPSR keluar. Ramai ibubapa yang gembira bila anak-anak mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan UPSR. "Tapi kami hanya cikgu tadika, tiada kaitan dengan kecemerlangan UPSR?, balas Cikgu Tamizi. "Tak cikgu, dengan asas yang kukuh di tadika, banyak membantu untuk kecemerlangan yang akan datang. Itu komen dari penjaga. Dan pada hari yang sama, ada beberapa orang lagi anak-anak bekas pelajar Tadika Pintar Bistari yang dengar khabarnya berjaya mendapat 5A. Kami sebagai bekas guru hanya bersyukur kerana anak didik yang kami ajar dari usia 5 tahun, tak tahu pegang pensel, tak tahu ABC, tak tahu 123, tak tahu menulis nama dan tak tahu membaca akhirnya berjaya memperoleh kejayaan dalam peperiksaan. Kami hanya mampu tersenyum puas dari kejauhan dan ucapan "Terima Kasih Cikgu" akan tersemat dihati sampai bila-bila!

Wednesday, October 29, 2008

TENTANG AUTISM

Melayari internet kadang kala membuatkan ana leka terutamanya bila berjumpa dengan laman web yang membolehkan kita mendapat maklumat-maklumat yang banyak memberikan manfaat kepada kita. Di antaranya adalah Hamid Arshat Pakar Sakit Puan - Kanak-kanak Autistik
~ berkisar tentang penyakit autism di kalangan kanak-kanak yang kadang-kadang terlepas pandang oleh ibubapa dan guru-guru tadika. Juga memuatkan banyak maklumat tentang sakit puan, kehamilan, kelahiran serta artikel yang menarik sebagai panduan kepada ibubapa.
Selamat melayari web ini

KEPUTUSAN PEPERIKSAAN

Peperiksaan Semester 2 dahpun berlalu dan ibubapa dah tak sabar-sabar lagi hendak tahu keputusan. Walaupun dah dimaklumkan dalam surat makluman tentang tarikh keluar keputusan iaitu 30 Oktober tapi ibubapa masih tak sabar menunggu. Manalah tahu kot-kot keputusan boleh keluar cepat...
Sebenarnya banyak kerja belakang tabir yang perlu dilangsaikan terlebih dulu sebelum dapat dilihat dilaman web. Tanda kertas, semak markah, 'sort' keputusan, scan gambar (yang ini memang mengambil masa yang banyak) dan upload kat internet. Tapi zaman dah makin canggih, tadika pun kena canggih juga. Buat masa sekarang, ini yang mampu dibuat oleh Tadika Pintar Bistari yang memang banyak lagi kelemahannya. Semoga teguran-teguran membina dapat mendewasakan kami warga Pintar Bistari ke arah Membentuk Generasi Bijak Berilmu.

SYAWAL SEBULAN

Syawal sebulan...... Agak-agaknya kalaulah syawal tu boleh disambut lebih dari itu, mungkin ada sesetengah umat Islam yang menyambutnya lagi. Hari ini hari terakhir syawal. Masih ada lagi rumah-rumah terbuka, jamuan makan-makan dan sembang-sembang.
Dan di kawasan perumahan ana di Taman Mawar, masih ada lagi kedengaran bunyi-bunyi mercun di sana sini. Mungkin sebagai penutup kepada bulan Syawal ini.
Sebenarnya kalau ingin berziarah dan mengunjungi saudara-mara dan sahabat handai tak perlu menunggu pada bulan syawal saja, kerana ziarah menziarahi untuk mengeratkan ukhwah Islamiyyah memang dituntut dalam Islam. Bukan hanya pada bulan Syawal saja seperti apa yang berlaku sekarang ini.
Kadangkala kita segan untuk ziarah menziarahi pada waktu lain kerana bimbangkan kehadiran kita ini mengganggu tuan rumah. Itu mentaliti yang ada pada kebanyakan umat Islam sekarang ini kerana untuk menjaga "privatasi" masing-masing.
Perkara ini ana highlightkan di sini untuk muhasabah diri ana juga untuk lebih banyak menziarahi anak-anak murid tadika pada masa-masa akan datang.
Janganlah pula nanti kalau ana telefon nak ke rumah, kata ana nak jual apa-apa pulak ye.....
Semoga kita dipanjangkan umur untuk bertemu semula Ramadhan dan Syawal tahun hadapan.
Juga ana panjatkan seribu kesyukuran kepada Allah SWT kerana sepanjang bulan Ramadhan dan Syawal ini, rezeki cikgu-cikgu pun makin murah. Selain makan-makan, ada juga yang dapat kain sepasang dua, juga duit raya....TERIMAKASIH SEMOGA DIMURAHKAN REZEKI ANTA SEMUA

Thursday, September 18, 2008

Juadah Ramadhan dan Lempeng Nenek

Sepanjang Ramadhan ini, baru 2 kali ana berkesempatan ke Pasar Ramadhan di Taman Mawar. Penjual pun taklah ramai sangat. Tak seperti di Pasar Ramadhan di Taman Air Biru. Juadahnya biasalah, lauk pauk, kuih muih dan pelbagai jenis air. Kalau bawa anak-anak, memanglah macam-macam yang mereka hendak, tak dibelikan kesian sebab dah sehari suntuk belajar berpuasa, so ikutkan ajelah...
Namun yang menarik perhatian ana adalah "gerai lempeng 60'an" oleh seorang pakcik. Rasa-rasanya tahun sebelum ini tak ada, tahun ini baru timbul. Seingat ana yang berasal dari kampung ni, (Kg. Sungai Karang, Kuantan), waktu kecil-kecil dulu, mak selalu buatkan lempeng, pelbagai jenis lempeng, ada lempeng kelapa, lempeng pisang, lempeng sagu dan lempeng tepung semata-mata dan dicecah dengan gula atau ikan masin. Itu cerita tahun 60 'an tapi dah masuk tahun 2008 ni, lempeng dah ada harga. Lempeng kosong harga RM1.00 dan lempeng kelapa berharga RM1.50. Itu pun berkerumun orang nak membeli.
Ana teringat bila berkunjung ke Kg. Plentong Tengah, anak-anak mesti mencari lempeng Nenek Ramlah (Ibu angkatku yang menjaga Along dari usia 2 bulan hingga 7 tahun). Lempeng nenek juga yang sedap. Semoga Nenek Ramlah sihat-sihat selepas operation baru-baru ini.

Baru-baru ini, adik bongsu ana yang tinggal di Kuala Lumpur datang ke rumah, kebetulan ada urusan kerja dan sempat berbuka di sini. Menurut beliau, di KL dah tak jumpa lagi harga kuih 3 seringgit. Kat sana rata-rata harga kuih 5 keping 2 ringgit. Suami isteri bekerja, tak sempat nak memasak untuk juadah berbuka, beli aje lebih mudah tetapi kekadang tu makanan yang dibeli tak ada rasa, dan cepat basi. Beginilah kehidupan di bandar, semakin maju kita, semakin tinggi yang perlu kita bayar untuk menampung kos kehidupan. Itulah dunia.

Wednesday, September 17, 2008

LAWATAN KE PAPG

Awal-awal lagi Caca dah set alarm h/phone sebagai reminder bahawa 16 September 2008 adalah hari lawatan Ke Perpustakaan Awam Pasir Gudang. Rasanya bukan Caca saja yang sedemikian, tapi mungkin juga anak-anak yang lain.
Bagi mereka pergi lawatan adalah sesuatu yang menyeronokkan lebih-lebih lagi dapat naik bas sekolah panjang warna kuning. Bukan senang nak naik bas sekolah sebab hari-hari naik kereta ibu ayah atau naik van pakcik makcik. Keseronokan jelas terpancar di wajah-wajah comel mereka!

Seperti yang dirancangkan, hari ini murid-murid 6 tahun Cawangan Taman Mawar seramai 62 orang (sesi pagi) dan diiringi oleh 6 orang guru pengiring sampai di PAPG dan disambut mesra oleh petugas-petugas PAPG yang cantik-cantik belaka. Mereka diberi penerangan tentang fungsi perpustakaan sebagai pusat gedung ilmu, segala peraturan yang perlu dipatuhi, kemudahan-kemudahan yang terdapat di perpustakaan, cara bagaimana meminjam buku dan akhirnya mereka diberi peluang untuk memilih dan membaca buku kegemaran mereka di Children Corner. Melihat gelagat mereka, memang menyeronokkan. Apakan tidak, bila buku terlalu banyak, ambil yang ini tak best, yang itu pun tak best. Agaknya rambang mata lihat buku yang bermacam-macam tu. Macam rambang mata kat pasar Ramadhan!!

Lawatan selama sejam di PAPG terasa amat singkat. Sebelum pulang, anak-anak diberikan cenderahati Colouring Book yang berupa gambar-gambar menarik di Pasir Gudang. Apatah lagi, makin melebarlah senyuman mereka. Cikgu-cikgu pun dapat cenderahati juga, siap dengan beg sekali. Hilang penat cikgu...

Apapun ana mengucapkan "terimakasih daun keladi" khas kepada pihak PAPG terutama Bossnya Pn. Roslina Mohd. Othman dan petugas-petugas yang lain. Tak lupa juga kepada Pihak Berkuasa Tempatan Pasir Gudang yang sekarang ni telah ditukar nama kepada Majlis Perbandaran Pasir Gudang. Insyaallah anak-anak dari cawangan lain akan menyusul kemudian seperti yang telah dijadualkan.

Untuk pengetahuan ibubapa yang ingin membuat kad pinjaman buku di PAPG, beginilah caranya:
1) Pergi ke PAPG dan isi borang keahlian perpustakaan.
2) Jangan lupa bawa salinan surat beranak anak-anak. Tak perlu bawa gambar. Tak pelu cop tadika.
3) Bayaran RM4.00 (RM3 untuk yuran tahunan dan RM1 untuk gambar) dikenakan untuk keahlian kanak-kanak dan RM11.00 (RM10 untuk yuran tahunan dan RM1 untuk gambar) untuk keahlian dewasa.

Jangan berlengah lagi, jom ke PAPG!! @ layari http://mppg.gov.my/Kemudahan/kemudahan.htm