Wednesday, October 27, 2010

ANUGERAH KHAS, TAHNIAH...

Anugerah Khas? Anugerah Festival Filem Malaysia 23 dah pun berakhir, Ini anugerah mana pulak ya?

Sebenarnya ANUGERAH KHAS ini diberikan kepada anak-anak 5 tahun yang telah dapat menamatkan "programme reading" BACALAH ANAKKU, READEASY DAN BACALAH JAWI dalam masa tak sampai setahun dan tarikh tutupnya adalah sehingga Jumaat ini. Sehingga tarikh ini seramai 46 orang dari 7 cawangan yang telah berjaya menamatkan ketiga-tiga buku ini. TAHNIAH diucapkan buat anak-anak ini dan bukan senang untuk mencapai sehingga tahap ini tanpa sokongan dan kerjasama dari ibubapa sekalian.
Alhamdulillah, bilangan tahun ini telah meningkat jika dibandingkan dengan tahun lepas dan setiap cawangan ada wakil masing-masing. Senarai penerima akan dimaklumkan kepada ibubapa dan anak-anak yang berjaya akan menerima medal dan sijil penghargaan khas pada HARI ANUGERAH CEMERLANG nanti. TAHNIAH sekali lagi.. Tunggu hadiahnya ya...

BANTUAN YURAN PRASEKOLAH SWASTA

Makluman kepada semua ibubapa dan penjaga (warganegara Malaysia sahaja)

SURAT MAKLUMAN DAN BORANG BANTUAN  akan diedarkan kepada semua murid-murid mulai Khamis (28-10-2010) untuk diambil tindakan segera. Sila buka beg sekolah anak-anak sekiranya anak-anak tidak memberikan surat ini pada tuan/puan.
Sila baca dengan teliti dan sekiranya terdapat kemusykilan @ pertanyaan, sila berhubung terus dengan Pn. Zainun (019-7387800) untuk keterangan lanjut.

GELAGAT EXAM

Mungkin waktu ni ramai ibubapa dok keluarmasuk-keluarmasuk website tadika sebab nak tengok result periksa samada dah keluar atau belum. Janjinya pada hari khamis, so insyaallah hari khamis nanti bolehlah tengok. Diharap bersabar.

Dek kerana laptop buat hal dan RM650 melayang, baru sekarang ini sempat ana nak siarkan gambar gelagat anak-anak waktu ambil periksa. Jom kita lihat sebahagian darinya.

Walaupun berdepan, tapi tak meniru. Ada caranya..


Masing-masing tekun menjawab soalan


Padam, jangan  tak padam kalau salah tu..

Pinjam ruler jap!

Senang aje cikgu, macam makan kacang aje
Mereka ambil exam, bukanlah macam kat sekolah rendah @ menengah @ U. Tapi peluang untuk meniru memang tak boleh. Ada caranya.
Setiap murid yang duduk berhadapan akan disuruh membuat mukasurat yang berlainan. Jadi masing-masing sibuk menjawab soalan sendiri-sendiri. Cikgu pulak asyik meround saja. 

Tuesday, October 26, 2010

SEMOGA CEPAT SEMBUH

Cerita 1 
Rabu minggu lepas, ana, Teacher Su, Teacher Shawa dan Teacher Norifah berkesempatan ke Hospital Sultanah Aminah kerana menziarahi Teacher Faizah (GB Taman Scientex 1) yang telah dimasukkan ke wad kerana jangkitan kuman dalam paru-paru. Waktu melawat adalah jam 1 tengahari dan kami sampai 5 minit sebelum waktu melawat tu. Aduh, bukan main susah nak cari tempat parking, semuanya penuh. Berderet-deret kereta menunggu giliran masuk ke tempat parking, manalah tahu kot-kot ada rezeki, dapat juga memakir kat situ tapi kalau dah penuh tu, tak ada peluanglah nak memakir.
Akhirnya ana terpaksalah memakir di tempat yang tidak sepatutnya. Tetapi kalau dibuat perkiraan, tak adalah menyusahkan orang lain dan tidaklah menganggu lalulintas ketika itu. (saja menyedapkan hati)
Teacher Faizah dimasukkan ke Wad Cempaka. Taklah susah sangat nak cari sebab mulut ada dan ringan untuk bertanya. Kat bahagian bawah wad itu, under construction dan ditutup. Jadi tingkat 2 digunakan untuk mengisi ruang, Ruang yang sepatutnya mengisi 6 pesakit, ditambah menjadi 8 pesakit. Ruang koridor juga diisi dengan katil pesakit dan pesakitnya sekali. Amatlah tidak selesa ana yang melihat, apatah lagi pesakit-pesakit yang menghuni di situ. Jauh bezanya dengan wad di HSI (Hospital Sultan Ismail) yang keadaannya lebih selesa dan teratur. 
Ditanya kenapa tidak ditempatkan di HSI, Teacher Faizah menyatakan bahawa penyakitnya memerlukan perhatian ramai doktor, sebab itulah terpaksa dihantar ke HSA. Kami pun taklah berlama sangat disitu, dikhuatiri mengganggu pesakit yang nak berehat. Dalam pada tu Teacher Su ralit memerhatikan seorang pesakit yang terlalu kurus badannya, sedang bersolat sambil duduk di atas katil. 
"Nape su?", tanya ana
"Tengok kak, sakit pun masih ada kederat nak bersolat, kita  yang sihat ni ada yang termiss jugak", katanya dengan nada sayu.
"Itulah Islam. Bila sesuatu telah ditaklifkan ke atas seseorang, tiada lagi dolak-daliknya. semuanya telah diberikan petunjuk. Waima dalam bersolat, tak boleh berdiri, boleh duduk, tak boleh duduk, boleh berbaring, sehinggalah kepada isyarat mata sekalipun. Itulah kewajipan namanya yang mesti untuk dipenuhi dalam apa jua keadaan sekalipun. tiada kompromi' hujah ana.

Ana menunggu sehingga pesakit itu habis bersolat untuk bertanya khabar. Kami berbual sebentar. Katanya sekarang ni doktor kata sakit paru-paru dan jantung, sebelum ni kanser payudara, dah pun dibuang. Badan teramat kurus, mungkin kesan kimoterapi sebelum ini. Alhamdulillah, dalam menerima ujian dari Allah, beliau masih mampu untuk beribadah. Itulah kekuatan yang telah dianugerahkan oleh Allah kepada beliau. Tak semua orang mampu untuk berbuat demikian. Semoga mendapat iktibar kepada semua.
Dan pada Sabtu lepas Teacher Faizah dahpun dibenarkan keluar dari HSA dan masih meneruskan cuti sakit dan berehat di rumah. 

Cerita 2
Petang Ahad lepas, dapat sms dari Teacher Su, ayahnya Pak Saat dimasukkan ke ICU HSI kerana kompilasi jantung dan paru-paru. Dan sampai saat ini masih berada di sana. Menurut doktor, keadaanya stabil tetapi kritikal (adakah sama maknanya dengan kritikal tapi stabil ???)

Kepada kedua-duanya, kami warga TPB mendoakan semoga cepat sembuh.


Tuesday, October 19, 2010

YA ALLAH, TELAH KUSAMPAIKAN...

Pengalaman pertama kali menjadi ahli panel.
Bersama panel kedua yang bersemangat
 Alhamdulillah, hujung minggu lepas amat berbekas di hati ana kerana telah dapat menyampaikan sesuatu yang bermanfaat dan memberikan banyak info dan pendedahan kepada muslimah yang hadir di dalam FORUM MUSLIMAH bertajuk "SELAMATKAN WANITA DENGAN SYARIAT'  

Bagi yang tidak dapat hadir bersama, sila ikuti laporan tentang forum ini. Sila KLIK di sini 

EH, CEPATNYA....

Selepas peperiksaan semester 2, masa beredar terlalu cepat rasanya. Anak-anak K2 masih sibuk meneruskan pembelajaran dan disamping itu berlatih untuk persembahan Hari Anugerah Cemerlang. Ana juga telah menyiapkan TAKWIM 2011. Mungkin ada yang mengatakan, eh cepatnya!!

Sebenarnya taklah cepat manapun. Selepas mendapatkan senarai-senarai cuti umum dari Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan dan senarai cuti dan hari persekolahan dari Kementerian Pelajaran Malaysia, dapatlah takwim 2011 dirancang. Dari segi aktiviti tu, taklah banyak sangat perubahan yang dibuat, kebanyakannya mengikut senarai aktiviti-aktiviti tahun sebelumnya.
Lagipun, bila perancangan dah siap, cuma aturkan saja mengikut tarikh dan bulan seperti yang ditetapkan.
Alhamdulillah, dengan takwim ini, dapatlah para ibubapa membuat perancangan awal untuk Cuti-cuti Malaysia ke, balik kampung ke, nak travel oversea ke, atau juga sebagai rujukan setahun memandangkan takwim ini dah lengkap dengan cuti umum dan cuti sekolah sekali.
Kepada rakan-rakan seperjuangan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak juga, mungkin boleh dijadikan rujukan untuk aktiviti di tadika masing-masing. Semoga dapat dimanfaatkan.

Sila ke website tadika atau klik di sini untuk TAKWIM 2011

Thursday, October 14, 2010

JEMPUTAN KE MAJLIS ILMU

Semua dijemput untuk menghadiri forum muslimah yang akan diadakan seperti ketetapan berikut:

Tajuk forum: Selamatkan Wanita Dengan Syariat
Tarikh: 17 Oktober 2010 (Ahad)
Masa: 8.30 ~ 1.00 petang
Tempat: Pejabat Ikatan Intelektual Nusantara (IKIN)
              No 20-01, Jalan Putra 1, Taman Sri Putra,
              81200, Johor Bahru
Penyertaan: PERCUMA

Antara yang menarik

  • Membongkar pelbagai isu wanita masa kini yang tidak berkesudahan malahan semakin parah.
  • Mengemukakan satu penyelesaian yang hakiki yang dapat merungkai permasalahan ini sehingga ke akar umbi
  • Turut sama disertakan beberapa tayangan multimedia


Untuk keterangan lanjut dan pertanyaan, sila hubungi:
019-9292696 (Cik Khadijah) kawasan JB, Skudai
019-7387800 (Cikgu Zainun) kawasan Pasir Gudang

PERTANDINGAN MEWARNA

Sempena pembukaan kedai buku baru di Taman Bukit Dahlia, BOOK TALK (PG), akan menganjurkan pertandingan mewarna kanak-kanak usia 4 ~ 12 tahun.

Tarikh: 31 Oktober 2010 (Ahad)
Tempat: Book Talk (PG) Sdn. Bhd,
             27 & 28, Jalan Sejambak 4, Taman Bukit Dahlia, PG
 
Kategori A
10 ~ 12 tahun (8.30 pagi ~ 10 pagi)

Kategori B
7 ~ 9 tahun (10.15 ~ 11.45 pagi)

Kategori C (kanak-kanak tadika)
4 ~ 6 tahun (12.00 t/hari ~ 1.30 petang)

Hadiah-hadiah menarik menanti pemenang

Pertama: RM100 + piala
Kedua: RM80 + piala
Ketiga: RM50 + piala
10 x hadiah terbaik : Hadiah + piala
20 x hadiah saguhati : Hadiah

Pendaftaran: Percuma
Keterangan lanjut dan pendaftaran: Sila ke Book Talk (PG) @ 012-7379539/013-7163073

Sunday, October 10, 2010

ESOK DAH PERIKSA?

Kertas soalan sempoa 5 Bistari dan 6 tahun
Ya, bermula esok, Isnin, 11 Oktober ~ Khamis, 14 Ooktober 2010, murid-murid TPB akan menduduki peperiksaan semester 2 (akhir tahun). Sekejap aje rasanya, dah nak sampai kepenghujung sesi 2010. Jadual peperiksaan bolehlah dirujuk dalam surat makluman Oktober 2010 @ boleh aje ke website tadika 
Soalan-soalan peperiksaan semuanya telah siap sedia. Macam lipas kudung Teacher Shawa menyiapkan soalan periksa. Teacher Nani dan Teacher Ika pulak sibuk fotostat soalan bagi memastikan semua soalan dapat sampai ke cawangan seperti yang ditetapkan. Kadang-kadang mesin pulak buat ragam, sabor ajelah yek!
Semua kertas worksheet dan buku-buku aktiviti murid telah diserahkan kepada yang empunya diri pada Rabu lepas. Bukan untuk disimpan tetapi untuk dibuat ulangkaji. Rasanya hujung minggu ni, ramai ibu-ibu dan bapa-bapa yang bersama-sama anak-anak mereka membuat ulangkaji. Soalan taklah sesusah mana, apa yang ada dalam buku dan worksheet tu, adalah yang keluar. Cuma mungkin dipusing-pusingkan sikit soalan. Dari pengalaman, anak-anak ini biasanya terlalu confident, pakai jawab aje walaupun telah diingatkan oleh cikgu berulangkali. Biasalah bebudak...
  • Untuk semua anak-anak TPB, selamat menjawab soalan periksa.
  • Untuk semua ibubapa, janganlah risau sangat, pasti anak dapat jawab.
  • Untuk semua cikgu-cikgu, selamat menanda kertas.

SELALULAH BAWA KAMI KE SINI...


Pintu masuk sesak dengan murid-murid TPB
7 OKTOBER 2010

Pada hari ini giliran cawangan Taman Scientex 1 dan 2 pula mengikuti lawatan ke Perpustakaan Awam Pasir Gudang. Lawatan tidak menjadi yang dirancang pada Julai lepas telah direalisasikan pada minggu ini. Dimulai oleh cawangan Taman Rinting pada hari Isnin yang mana murid petang digabungkan ke pagi dan dibawa serentak pada waktu pagi hari tersebut. 
Hari Selasa pula, cawangan Taman Mawar 1 dan 2 sesi pagi pula mengambil giliran. Tetapi mereka kurang bernasib baik kerana bila bas hendak memulakan perjalanan, engin bas pula meragam. Mujurlah masih dalam kawasan tadika lagi, jadi murid-murid dikehendaki masuk semula untuk menunggu bas ganti. Pada mulanya pemandu bas hendak aje membatalkan trip ini, tapi memandangkan pihak tadika berkeras untuk meneruskan lawatan, sebuah bas gantian disediakan, namun masa diperuntukkan di perpustakaan amat-amat singkat. Walaupun begitu, mereka amat seronok sekali kerana mendapat buahtangan dari pihak PAPG berupa buku mewarna, makanan (mee hoon) dan air kotak. Sesi petang pula, lawatan berjalan dengan lancar.

Pada hari ketiga, gabungan cawangan Taman Kota Masai 1 dan 2 pula mengambil giliran. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar juga.
Pada hari ke-4 pula, ana berkesempatan bersama-sama murid TS 1 & 2 berkunjung ke PAPG. Murid seramai 67 orang dan diiringi oleh 7 orang guru disambut oleh petugas-petugas di situ dengan senyum lebar. Murid-murid diberi penerangan tentang fungsi perpustakaan kepada pelajar, pengguna dan masyarakat setempat. Disamping itu, murid-murid diterangkan apa yang boleh dan tidak boleh sewaktu diperpustakaan.
Jom kita lihat gambar-gambar mereka.

Cara-cara masuk dengan menolak palang juga diajarkan.

Children corner, khas untuk kanak-kanak bawah 12 tahun


Masing-masing sibuk memilih buku dibantu oleh guru pengiring
Menyeronokkan kerana rata-rata murid telah lancar membaca

Bermacam-macam buku yang dibaca.

Dengan berbagai-bagai gaya

Asalkan mereka selesa

Inilah di antara papantanda-papantanda yang terdapat di perpustakaan




 
Disiplin di mana-mana. Kasut kemas tersusun.
Petugas memesan agar murid membuat kad perpustakaan. Bayaran dikenakan RM4 sahaja. Isi borang yang disediakan dan tak perlu bawa gambar.

Petugas PAPG gembira dengan kunjungan murid-murid TPB, sambil mengagih-agihkan makanan

Beratur menaiki bas untuk balik ke tadika

Peti ubat kecemasan sebagai satu kewajipan sewaktu lawatan
Lawatan yang menyeronokkan. Lebih seronok bila pergi bersama-sama kawan-kawan dan guru-guru
Beginilah berakhirnya lawatan ke perpustakaan pada tahun ini. Pesan anak-anak-kepada ibu-ibu dan bapa-bapa....
SELALULAH BAWA KAMI KE SINI...


Kepada pihak pengurusan PAPG, terima kasih daun keladi, tahun depan berjumpa lagi. 

Saturday, October 9, 2010

AKU BILA LAGI..?

Hari ini 29 Syawal, hari terakhir dalam bulan Syawal, namun masih ada lagi yang mengadakan rumah-rumah terbuka, malam ini dan mungkin juga hujung minggu ini. Berpuasa sebulan, beraya pun sebulan. Itu yang ana nampak disekitar Pasir Gudang ini, kat tempat lain tak tahulah. Mungkin juga kat bandar-bandar besar seperti KL senario seperti ini masih berlaku. Dan pagi tadi, di radio hotfm, masih lagi didendangkan lagu raya bagi bagi menutup tirai bulan Syawal.
Sepanjang bulan raya ini, rezeki makan guru-guru TPB bukan main murah lagi. Dapat jemputan di sana-sini. Beraya sambil minum petang, beraya sambil makan tengahari dan beraya sambil makan malam. Hampir setiap hari. Kalau dibuat pada bulan-bulan biasa pun, rasa-rasanya bagus juga. Apatah lagi bila dah hujung-hujung bulan tu.
Apapun, ana bagi pihak guru-guru TPB mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih di atas semua undangan. Tetapi sedikit terkilan juga sebab ana dan keluarga tidak dapat memenuhi undangan disebabkan keterikatan kepada komitmen lain. Insyaallah di luar hari raya pun masih boleh berziarah lagi kan. Untuk menambahkan ikatan ukhwah, bukan sekadar hanya makan dan terus balik untuk memenuhi undangan rumah terbuka yang lain pula.
Seronoknya di Johor ini, ada program marhaban yang mana ianya tak ada di tempat ana, samada Kuantan @ Pekan. Tapi ada juga yang tak nak join, mungkin kerana ada masalah lain. Bagi ana, ianya ziarah secara express pada hari raya, sebab agar sukar untuk ziarah sampai 10 ~ 15 buah rumah dalam satu malam.

Apapun, Ramadhan yang dilalui dengan segala macam kebaikan di dalamnya, harap-harap ada kesinambungan ibadah. Semoga Ramadhan lalu tidak menjadi Ramadhan terakhir buat kita. Syawal juga kita tinggalkan. Mungkin ada yang sempat berpuasa 6, mungkin ada yang tidak dengan berbagai alasan. Datangnya bulan Zulkaedah menandakan bahawa bakal-bakal haji akan mula sibuk untuk menunaikan ibadah yang ke 6. Bagi yang belum menunaikan haji, tanyakan diri sendiri, aku bila lagi? Anda saja yang tahu jawapannya. Semoga dimurahkan rezeki menjadi tetamu Allah nanti. Insyaallah.

Tuesday, October 5, 2010

PMR......SRP

Hari ini Kak Nini menduduki peperiksaan PMR di SMK Pasir Gudang 1. Ana teringat waktu ambil SRP pada tahun 1982. Sekarang ni dah tahun 2010. Dah lama sangat tu. Waktu tu di Sek Men Beserah, Kuantan. Masih teringat lagi muka cikgu-cikgu kat sekolah tu. Cikgu Zaleha, mungkin dah bersara, dan sekarang dengar kata adiknya pulak, Zarina yang sama kelas dengan ana yang mengajar di sekolah tersebut. Dari SMK Beserah, ana beralih ke SMART (Sek Men Abd. Rahman Talib), Kuantan ambil science stream, tapi tak lama, sebab tak boleh bawa subject pure science.  Alhamdullillah dapat tawaran ke Sek Men Teknik, Kuantan aliran perdagangan, Tahun pertama dibuat di situ.  
Waktu belajar, ana bukanlah yang pandai, tapi rasanya berkat usaha dan kesungguhan yang mungkin membuatkan ana meningkat dari satu tangga ke satu tangga. Datang dari kalangan keluarga susah, selalu menolong emak ke kebun getah (bukan kebun getah sendiri). Tolong emak kutip sekerap yang baunya, fuhhhh....
Tolong emak memesin getah, dari pusingan yang ringan hinggalah pusingan yang berat (bila dah letak bunga). Waktu tu form 1, sekolah petang di SM Beserah. Tolong emak waktu pagi,  dan kalau waktu tengahari nak pergi sekolah, kalau tak ada bas tambang, terpaksa jalan kaki dari Sg. Karang ke  SM Beserah. jauh tu. nak menapak...... Tapi itulah kenangan hidup yang tak dapat dilupakan. kaperitan menjalani kehidupan yang serba kekurangan. Kenapa bercerita kish lama ya?
Yelah, anak-anak sekarang, terlalu banyak senangnya. Pergi balik sekolah, dihantar dan diambil depan sekolah. Anak-anakku tidak diajar dengan kemewahan walaupun rasanya mampu diadakan. Cuma mengharapkan dapat belajar dengan bersungguh-sungguh, bukan untuk kepuasan ibu abah tapi untuk kepuasan diri sendiri.
SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN ANAKKU, NINI & KAWAN-KAWANNYA di 3KAA1 DAN ANAK-ANAK DIDIKKU SPT  NADHIRAH DAN YANG LAIN-LAINNYA. SEMOGA SUKSES HENDAKNYA.

Monday, October 4, 2010

EK ELEH, INI JE....

Masih lagi membicarakan tentang Pertandingan Mental Aritmetik yang baru berlalu.
Seperti biasa, selepas sesuatu event, post-mortem akan dibuat dibuat disetiap cawangan dan akan dibincangkan sewaktu pertemuan / meeting hari Sabtu di HQ Taman Mawar. Tujuan post-mortem adalah untuk melihat balik kelemahan yang berlaku dan bagaimana untuk membuat penambaikan untuk program yang sama pada tahun depan. Begitulah yang berlaku pada hari Sabtu lepas. Setiap kelemahan diajukan dan dirungkai dengan sebaiknya, hinggalah kepada yang terakhir, keluar suara dari seorang guru.

"Kak, nak bagi tau, ada sorang peserta tu, belum sampai rumah lagi dah buka hadiah. Kejadian tu berlaku depan kita", ujarnya
"Tak apelah macam tu, mungkin dia excited sangat tu dapat hadiah"
"Tapi yang tak bestnya, ayahnya kata, EK ELEH, INI AJE YANG DAPAT..., kita malulah kak"

Moral from the story
Memang, hadiah yang diberikan kepada semua peserta tidaklah mahal. Sebuah pencil stand yang berharga RM3.90 sebiji. Mungkin bagi ibubapa yang rata-rata lebih berkemampuan, mereka boleh bagi yang lebih baik dan bagus dan lebih mahal dari itu. Tetapi bagi anak-anak, setiap apa yang diperolehi, apatah lagi dari satu-satu pertandingan amatlah mereka hargai. Sebab itulah mereka amat teruja dengan hadiah berbentuk segiempat dan berbalut kertas hadiah warna hitam gambar sponge-bop dan bila dah dapat hadiah, terus aje membukanya. Keterujaan mereka jelas terbayang waktu mereka beratur untuk menerima hadiah.

Bagi kami di TPB, pertandingan seumpama ini adalah untuk memberi pendedahan pertandingan kepada anak-anak agar mereka berani naik ke pentas dan berhadapan dengan audien yang ramai. Disamping itu, semangat berlumba kepada sesuatu yang baik harus dipupuk sejak dari awal lagi. Hadiah sebagai satu penghargaan tidak dilupakan waima kepada peserta persembahan juga. Mahal murah, itu soal kedua. Terima dengan seadanya. Terima kasih dengan komen ek eleh tu, semoga kami semua di TPB mendapat iktibar.

Hadiah-hadiah untuk persembahan, pertandingan, medal 1 ~ 3 bagi setiap kategori dan cenderahati 









Saturday, October 2, 2010

SELESAI AKHIRNYA

27 September 2010 (Ahad)
Lega. Itulah yang dapat diluahkan setelah sesuatu program selesai. Apatah lagi program yang membabitkan penyertaan anak-anak. Macam-macam ragam mereka tetapi alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar dan jayanya.
Walaupun dah seminggu berlalu, tetapi inilah yang dapat dikongsi bersama-sama pembaca sekalian.
Backdrop hasil usaha dan kerjasama guru-guru Taman Mawar 1 dan 2 dengan tema HARI RAYA

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan pengerusi TPB, Tn. Hj. Ahamed Tamizi B. Osman
Segak dengan berbaju melayu lengkap


Persembahan pembukaan tarian dengan lagu irama medley bertajuk SELAMAT HARI RAYA

Persembahan dari Taman Mawar bimbingan Pn. Siti Rugayah dan Pn. Nurazlina
Persembahan tarian bertajuk KAIN PELIKAT oleh murid-murid Taman Kota Masai 1 hasil bimbingan Cik Noor Faridah  dan Cik Sahbiah

Tibalah masa pertandingan yang ditunggu-tunggu

Guru-guru sibuk menyediakan tempat dan kertas jawapan di atas pentas

Kategori sempoa ribu bertulis
Kategori sempoa ratus  bertulis 6 tahun
Kategori sempoa ratus kelas 5 Bistari
Saringan bagi memilih 3 orang ke peringkat akhir




Akhirnya majlis penyampaian hadiah kepada semua peserta


Begitulah berakhirnya PERTANDINGAN MENTAL ARITMETIK 2010. Terima kasih banyak-banyak kepada semua murid-murid yang mengambil bahagian samada dalam persembahan (yang semuanya terdiri daripada murid-murid 5 tahun),  peserta pertandingan sempoa, guru-guru yang bertungkus-lumus menjayakan program dari awal hingga akhir, semua ibubapa yang memberikan komitmen masa (walaupun masih sibuk dengan open house hari raya) dan semua yang terlibat samada secara langsung @ tidak langsung.
Semoga kita dapat berjumpa lagi di program akan datang iaitu HARI ANUGERAH CEMERLANG yang akan di adakan di Staduim Perbadanan Pasir Gudang pada 14 November akan datang. Insyaallah.