Monday, August 18, 2008

LAWATAN KERJA JPN KELANTAN



Di antara gambar-gambar semasa lawatan kerja tempohari (Sila ke bahagian bawah untuk melihat gambar-gambar lain)

13 OGOS 2008 (Rabu)

Tadika Pintar Bistari cawangan Taman Mawar menerima tetamu jauh iaitu rombongan dari Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan bersama-sama dengan pengusaha-pengusaha tadika di negeri Kelantan. Rombongan ini diketuai oleh Ketua Sektor Unit Pendidikan Swasta, JPNK iaitu Encik Nasrudin Talib, dibantu oleh setiausaha kerja Pn. Wan Rubiah W. Mohd. Amin dan lebih kurang 30 ahli rombongan yang lain. Sementara wakil dari JPN Johor ialah Cik Norbiha Buang, Encik Azizan dan beberapa orang pegawai yang lain.

Ahli rombongan disambut dengan persembahan tarian 70an dari murid-murid K1 (5 tahun) Kemudian rombongan ini diberi taklimat tentang operasi tadika, aktiviti-aktiviti yang dijalankan, pengajaran dan pembelajaran (P & P) yang diterapkan beserta demonstrasi sempoa oleh murid-murid 6 Bistari. Kemudian mereka diberi peluang untuk meninjau ke kelas-kelas yang sedang berlangsung sebelum pertukaran sesi pagi dan sesi petang. Dalam masa yang sama ahli rombongan dan Guru Besar setiap cawangan bertukar-tukar maklumat dan pengalaman masing-masing. Sebagai tuan rumah, tidak sah rasanya andai tetamu tidak diraikan. Dengan ini rombongan telah dijamu dengan Nasi Beriyani sebagai pengalas perut sebelum mereka meneruskan lawatan ke tempat lain pula. Selesai makan, taklimat penutup diberikan oleh Pengerusi dan sebelum bersurai, sedikit cenderahati yang tidak seberapanya diagih-agihkan kepada ahli rombongan sebagai tanda kenang-kenangan dari pihak ana.

Sesungguhnya ana merasa amat berbesar hati menerima kunjungan ini dan sebagai balasan dari pantun yang diberikan oleh Kak Wan tempohari, inilah serangkap pantun dari ana.
Dari Kelantan ke Pasir Gudang,
Satu bas penuh muatan,
Terima kasih datang bertandang,
Insyaallah ukhwah akan berkekalan.
Sehari sebelum itu, Pengerusi tadika diberi peluang untuk sama-sama berkongsi pengalaman dalam satu sesi ceramah di Hotel Goodhope, Skudai. Mudah-mudahan dengan perkongsian pengalaman dan ilmu ini dapat memberikan suntikan baru kepada pengusaha tadika yang menyertai rombongan ini untuk membuat penambahbaikan kepada tadika masing-masing suatu hari kelak. Insyaalllah.

No comments:

Post a Comment