Saturday, November 7, 2009

KAMI SAMBUT SERUANMU!

Labbaikallahumalabbaik............Kami sambut seruanmu Ya Allah.
Begitulah talbiah yang diucapkan oleh semua jemaah haji yang menjadi tetamu Allah pada musim haji setiap tahun. Bagi yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci, tidak dapat dibayangkan bagaimana umat manusia dari segenap pelusuk dunia berkumpul untuk menunaikan rukun islam yang ke 5 itu. Jutaan manusia akan berkumpul di Padang Arafah di hari wukuf, dan disitulah kemuncak haji, tidak mengira bangsa, warna kulit dan bahasa. Begitulah kebesaran Allah Taala bagi mereka yang benar-benar memahaminya.
Insyaallah, hari ini juga, ana, Cikgu Tamizi dan Syafini akan berangkat ke Tanah Suci menjadi tetamu Allah. Walaupun kami dah lepas kewajipan yang pertama, tetapi pemergian kali ini adalah untuk menghajikan allahyarham Ziza Amirul Shafiq. Doa ana semoga semuanya berjalan lancar dan mendapat umrah dan haji yang mabrur.
Kami hanya dapat tahu tentang keberangkatan ke Tanah Suci ini baru  Jumaat minggu lepas. So, tahu ajelah macam lipas kudung membuat persiapan lebih-lebih lagi persiapan Hari Anugerah di Stadium Perbadanan Pasir Gudang yang baru pertama kali dibuat pada tahun ini, Program Pra-Tadika dan persiapan akhir menyambut anak-anak baru 2010. Alhamdulillah, 95% beres, yang lagi 5% tu, bagi kat nak-anak buah settlekan. Itupun cuma yang ringan-ringan aje.
Paling sayu, 2 puteri kecil juga terpaksa ditinggalkan. Terpaksalah mereka cuti sekolah 2 minggu awal dan balik ke Kg. Ganchong Tengah, Pekan, Pahang. Balik kampung pun best juga, dapat tengok lembu kambing @ ayam bertelur kat bawah rumah. Emmm, satu pengalaman yang sudah pasti menyeronokkan!!.







HARI TERBUKA


31 November 2009 (Jumaat)

Hari terbuka Tadika Pintar Bistari di semua cawangan. Seawal jam 7.30 pagi lagi, ibubapa dah datang ke tadika untuk mengambil keputusan peperiksaan semester 2. Walaupun keputusan dah dilihat di laman web tadika pada hari sebelumnya, tetapi mereka tetap berkunjung ke tadika untuk berjumpa sendiri dengan guru-guru yang berkenaan untuk mengetahui prestasi anak-anak sepanjang sesi persekolahan 2009 berlangsung. Tidak dapat dinafikan, keprihatinan ibubapa tentang pelajaran anak-anak dapat dilihat dari kehadiran mereka yang begitu memberangsangkan jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya. Syabas diucapkan kepada semua ibubapa yang dapat menghadirkan diri walaupun ada yang terpaksa mengambil cuti, time-off dan sebagainya. Guru-guru TPB pun gembira kerana inilah peluang yang sebaiknya untuk bertemu dengan ibubapa bagi berkongsi suka duka mendidik anak-anak sehingga ke tahap yang ada sekarang ini. Azam mereka, semoga kejayaan anak-anak akan terus berkekalan sehingga ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Insyaallah.




Tuesday, October 20, 2009

MACAM-MACAM DEMAM

Negara baru aje dilanda demam H1N1 dan nampak gayanya semakin hari semakin reda. Tiadalah lagi menteri yang bertanggungjawab keluar berita perdana mengisytiharkan angka penghidap baru, angka berapa yang disahkan positif  H1N1 seterusnya angka kematian.
Di sekolah rendah demam exam UPSR dahpun berakhir, diikuti dengan pelajar-pelajar tingkatan 3 yang baru aje merdeka dari PMR. Cuma aje yang belum lagi adalah calon-calon SPM
Di TPB demam exam bermula dari 12 ~ 15 Oktober lepas.

Mak ayah pula yang gabra. 

"Anak aku jawab bendalah hari ni" Mungkin itu fikir mereka

Sebaliknya anak-anak...
Alah, kacang ajelah ayah............. ujar mereka dengan penuh yakin.

Yelah, mereka dah terbiasa dengan lembaran kerja (worksheet) setiap minggu. So benarlah kata-kata itu. Cuma ibubapa aje yang bimbang anak tak dapat markah 100. Kami guru-guru TPB kalau boleh tak nak kasi markah 100 sebab nampak macam senang sangat. Senang tak senang, nanti mak ayah tengoklah soalan-soalannya nanti, apatah lagi soalan-soalan kelas bistari. Kalau salah tu, biasalah, careless mistake walaupun telah diingatkan oleh guru-guru agar semak balik jawapan.
Dan yang tak sedap dengarnya, ada ibubapa yang kata tak tahu ada exam minggu ini sebab tak dapat surat makluman. Rasa ana selain dari surat makluman, takwim telah diberikan, dalam website tadika pun ada dinyatakan. Guru-guru pun dah berbuih mulut minta anak didik ulangkaji di rumah. Telefon dan Handphone tadika sentiasa bersedia menerima panggilan. Dan ana pun pening juga memikirkan kat mana silapnya.????.
Semoga segala salah silap menjadi pengajaran buat semua, apatah lagi kami warga TPB yang sentiasa jadi sasaran segelintir ibubapa yang tidak puas hati. Ana doakan semoga Allah memberikan kekuatan kepada kami semua dalam memikul amanah yang diberikan. Kepetahan, kebijakan dan kenakalan anak-anak sebenarnya penawar buat  kami, guru-guru tadika. Kepada ibubapa yang sentiasa menghargai kami,  bukan hadiah yang kami dambakan, sebaliknya "TERIMAKASIH CIKGU (dalam nada Upin & Ipin), itupun dah memadai. Wallah hu'alam


Monday, October 19, 2009

SEPIRING JADI SEDULANG





Sambutan Hari Raya di Tadika Pintar Bistari semua cawangan berlangsung dengan meriahnya. Menjamu selera dengan kuih raya, kuih muih dan minuman disulami dengan lagu-lagu raya. Anak-anak perempuan comel bergaya dengan pelbagai fesyen baju raya, yang lelaki lengkap dengan songkok dan samping, gembira sama-sama meraikan bersama cikgu-cikgu tersayang. Anak-anak digalakkan membawa sepiring kuih dan di akhir majlis, sepiring kuih menjadi sedulang kuih. Terimakasih kepada ibubapa yang menyumbang makanan dan minuman yang lebih dari itu. Dengan lebihan kuih-muih, sebaliknya anak-anak dibekalkan bawa balik semula agar mak ayah, adik, abang dan kakak dapat sama-sama merasai kuih kawan-kawan yang lain.




Monday, October 12, 2009

WARKAH YANG TAK KESAMPAIAN

Assalamualaikum,
Semoga abang dan adik-adik sihat-sihat aje di rumah. Ibu dan abah, sihat aje, cuma ada batuk-batuk dek kerana cuaca di Mekah yang kurang menyenangkan. Ibu baru aje habis solat maghrib pada 5.50 petang tadi. Masa untuk isyak pada 7.20 malam. jadi ibu luangkan sikit masa untuk menulis pada abang.
Dalam waktu-waktu macam ini, kalau di rumah, tentu aje abang sibuk dengan rutin harian especially bila dah naik sekolah ni. Macamana agaknya dengan sesi persekolahan baru ni. Yelah, abangkan nak ambil PMR tahun ni. Ibu rasa dah tentunya abang dah membuat azam untuk belajar bersungguh-sungguh selepas 2 tahun abang bersantai. Ibu mengharapkan kejayaan abang di dunia, lebih-lebih di akhirat. Mungkin selama ibu menunaikan fardhu haji ini, abang tidak mendatangkan masalah pada Cik Non, Andak dan Abang Hafidz. Abang kan dah besar, dah boleh menggunakan akal fikiran untuk menilai yang buruk dan yang baik. Di dalam solat, ibu sentiasa mendoakan abang dan adik-adik agar menjadi anak-anak yang soleh dan solehah, berjaya dunia dan akhirat, menghormati yang tua dan menyayangi yang muda kerana itu adalah tuntutan dari Allah SWT. Ibu masih ingat bagaimana janji abang untuk mendoakan ibu setiap kali solat dengan membaca 'doa ibubapa' serta membaca Al-Quran.
Lagi 5 hari, umat Islam di sini akan wukuf di Arafah dan inilah kemuncak haji. Pada waktu inilah, umat Muhammad diberikan berbagai dugaan dan cabaran. Mudah-mudahan ibu dapat melaluinya dengan penuh kesabaran. Mungkin berkat dari doa abang dan adik-adik. Ibu minta maaf kerana tidak dapat menyediakan keperluan persekolahan abang sendiri. Kami telah dijemput menjadi tetamu Allah. Kami redha dan akan menjadi lebih berlapang dada sekiranya abang menjadi contoh yang baik dan pembimbing kepada adik-adik.
Alangkah seronoknya sekiranya abang dan adik-adik dapat bersama-sama ibu dan abah di waktu ini. Mungkin 5 tahun akan datang dan sekiranya diberikan kelebihan rezeki, lebih awal dari itu. Insyaallah.
Mungkin waktu-waktu sebegini, abang sedang menelaah pelajaran @ buat homework. Itu sepatutnya tanggungjawab abang sebagai seorang pelajar dan anak yang baik..
Hari berganti hari dan tanpa disedari, lagi 3 minggu ibu akan balik menemui abang dan adik-adik. Itupun sekiranya dipanjangkan umur. Sekiranya ajal ibu di bumi Mekah ini, diharap abang redha menerimanya. Ibu rasa sampai di sini sahaja. Akhir kalam, salam sayang dan peluk cium untuk abang dan adik-adik dari ibu dan abah di Mekah Al-Muqarramah. Doakan kami mendapat haji yang mabrur. AMIN

Dari ibu,
Masjidil Haram
04-01-2006 (7 malam)

Begitulah warkah yang tidak kesampaian....kerana dia telahpun tiada, yang telah lama kusimpan dan akan tetap dilipatan memori



Tuesday, October 6, 2009

AYAT-AYAT CINTA


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Maklumat di hujung jari. Sambil-sambil menekan keyboard, apa salahnya cuping telinga kita disajikan dengan ayat-ayat cinta yakni surah-surah dari Al-Quran.
Bagi yang tidak tahu, sila klik di sini untuk mendapatkan perisian Al-Quran secara maya. Amat mudah dengan pelbagai kegunaan bagi pelbagai tahap kefahaman tentang Al-Quran. Boleh dalam bahasa Inggeris @ Melayu @ bahasa-bahasa lain (sekiranya berminat)
SELAMAT MENDENGAR AYAT-AYAT CINTA DARINYA...


KASIHANI MEREKA.....

18 SEPTEMBER 2009

2 hari sebelum hari yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam sebelum berakhirnya Ramadhan, kesempatan ini diambil oleh warga Tadika Pintar Bistari untuk menziarahi 5 buah keluarga istimewa di flat Taman Cendana. Sebagai wakil, Pn. Suhaila bersama guru besar cawangan berkunjung bertanyakan khabar sambil membawa buah tangan berupa keperluan dapur sempena hari raya dan kurma serta sedikit kuih raya. Besar hati tuan rumah menerima kunjungan ini sementelah dalan keuzuran dan keperitan hidup, tiada yang datang menjenguk walaupun anak sendiri, luluh hati mengenangkan hari-hari yang dilalui penuh dengan kesedihan, apatah lagi bila mendengar sayup-sayup lagu-lagu raya berkumandang di sana-sini.
Mendengar cerita keluarga istimewa ini amat memilukan perasaan. Sedang kita enak-enak dengan juadah ramadhan, bersiap-siap dengan segala yang baru untuk menyambut lebaran tapi bagi mereka, samada hari biasa, bulan ramadhan hatta hari raya, semuanya sama saja.
KASIHANILAH MEREKA......terimakasih bagi yang memberi walaupun tidak sebanyak mana, hanya Allah yang dapat membalasnya.

KEMBALI KE SEKOLAH

Setelah 10 hari bercuti raya, anak-anak kembali ke sekolah. Ceria tampak di wajah-wajah comel mereka. Mana tidaknya, hari rayalah hari yang paling gembira buat anak-anak. Dapat baju baru, kurang-kurang 2 pasang, mungkin lebih lagi. Dapat balik kampung, jumpa atuk nenek dan sedara-mara. Dapat duit raya.... berkeping-keping, ada biru, ada hijau dan ada merah. Dan masing-masing asyik mengira duit, bagi yang pandai math. tu, no hal untuk mengira duit raya sebab mereka dah pun belajar pasal 'money'. Tak kurang yang minta untuk disimpan dalam bank, sikap yang perlu dipupuk semenjak kecil, agar bila besar nanti duit dah ada untuk sambung belajar, tak perlu meminjam dengan PTPTN yang ada unsur-unsur riba.
Bagi ibubapa, ada yang menggaru kepala. Terlebih budget itu biasa la bila ada perayaan seperti ini. Mana nak buat open house, mana nak tunggu gaji bulan depan, mujurlah anak-anak ada banyak duit raya, bolehlah ayah ibu pinjam jap, nanti dapat gaji, ayah ibu ganti ya....
Guru-guru ana pun seronok juga, sana sini dapat makan free bila ada ibubapa yang buat open house, moga-moga rezeki ibubapa ini bertambah lagi dengan kunjungan dari cikgu-cikgu ana.
Dan ana pula, 10 hari bercuti rasanya memanglah lama untuk anak-anak ini walhal banyak perkara yang bolah dipelajari sekiranya mereka naik sekolah cepat. Kerana bermula minggu depan (12 ~ 15 oktober), peperiksaan akhir semester akan bermula. Dan mereka sekarang ini sedang pulun ulangkaji. Dan cikgu yang berkenaan sedang pulun menyediakan kertas peperiksaan sementara ana sendiri pulun membuat perancangan utuk menyambut 2010.
CEPATNYA MASA BERLALU....


Thursday, September 17, 2009

FORUM MUSLIMAH

Alhamdulillah, forum muslimah berjalan dengan lancar seperti yang telah dirancang. Program dimulakan dengan alunan ayat-ayat suci Al-Quran surah Al-Baqarah 183 ~ 187 yang dibacakan oleh Pn. Faizah Sihap dari Cawangan Tmn. Scientex (1) sementara terjemahan ayat dibacakan oleh Pn. Norafizah Salleh dari cawangan Tmn. Kota Masai (2). Forum diselangselikan dengan tayangan multimedia yang memaparkan realiti ketidaksejahteraaan wanita di Malaysia serta di peringkat global.
Para hadirat yang hadir sangat berpuashati dengan kupasan-kupasan yang dibentangkan, yang mana ianya banyak berkait rapat dengan permasalahan wanita, yang dilihat dari perspektif Islam.
Walaupun di luar sana sejuk kerana hujan tetapi di dalam Ballroon TS Hotel panas dengan isu-isu terkini yang dibincangkan, permasalahan sosial, pendedahan kepada isu-isu feminism, krisis sosial, kesetaraan gender, diskriminasi, poligami, pekerjaan dan keadilan sosial.
Di akhir program ini, pengerusi majlis, Pn. Shawariah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli panel, guru-guru, peserta dan Muslimah yang menghadiri forum ini serta semua warga kerja yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan forum. Insyaallah, sekiranya diberikan kesempatan, forum @ yang seumpamanya akan diadakan lagi di masa-masa akan datang.


Friday, September 11, 2009

ISLAM MENJAMIN KESEJAHTERAAN WANITA

Begitulah tajuk Forum Muslimah yang dianjurkan oleh Tadika Pintar Bistari pada Ahad ini, di TS Hotel, Taman Scientex bermula 8.30 pagi ~ 12.30 tengahari. MASUK ADALAH PERCUMA.
Tapi sayang seribu kali sayang, yang amat menyedihkan dan amat mendukacitakan ana adalah penyertaan dari para ibu-ibu hanya sekitar 23 orang saja (yang confirm mahu hadir). Angka yang jauh tersasar dari jumlah murid-murid tadika ana sendiri.
Berkenaan forum ini, ana pernah menghadirinya di Bangi pada bulan lepas dan ternyata kupasan tentang kesejahteraan wanita yang dilihat dari berbagai sudut amat merangsang pemikiran. Lebih-lebih lagi dari sudut perundangan yang kupasannnya telah dibuat oleh seorang peguam.
Ahli-ahli panel diimpot khas dari Kuala Lumpur dan mereka ini bukan calang-calang orangnya. Memandangkan forum ini amat bagus, jadi ana mengambil inisiatif menganjurkannya di sini agar orang-orang Pasir Gudang, Johor Bahru dan sekitarnya dapat sama-sama berkongsi maklumat tanpa perlu mengeluarkan duit yang banyak untuk mengisi minyak kereta dan tidak perlu membayar tol. Cuma sedikit masa saja yang diperuntukkan untuk sama-sama duduk dan mendengar kupasan-kupasan berkaitan wanita dan isu-isu yang berkaitan dengannya. Berdoalah agar pengorbanan masa kita mendapat balasan baik dari Allah Azzawajalla.
Dari Al-Quran Surah Al-Mujadalah:11, Allah berfirman,
"Allah mengangkat (darjat) orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat"
Sabda Rasulullah saw: "Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap Muslim"
(Hadis riwayat Ibnu Adi dan Baihaqi dari Anas ra at-tabrani dari Al-Husain bin Ali)
Insyaallah, sekiranya kita menjadikan forum ini sebagai satu majlis ilmu, ganjaran pahala dari Allah akan kita perolehi dan mudah-mudahan akan berlipat kali ganda di bulan Ramadhan ini.
Ana juga memohon diberikan pahala yang sebanyak-banyaknya dari Allah kerana menganjurkan forum ini yang biasanya setiap program tadika memang ada bayaran tapi untuk forum ini, dibuat secara percuma.
Pesan ana: Sila war-warkan forum muslimah ini kepada sesiapa saya yang anda kenal dalam usaha menuntut ilmu. Mudah-mudahan usaha anda yang sedikit itu akan mendapat ganjaran yang besar dari Allah SWT. Amin

LAILATUL QADAR

Malam tadi, malam 21 ramadhan. Malam ganjil pertama di 10 akhir ramadhan. Adakah malam tadi malam lailatul qadar, malam yang ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam yang mengharapkan keampunan dari Allah SWT?

10 malam terakhir ~ mencari lalilatul qadar.
Tajuk yang ana dah edit dan posting di dalam blog tazkirah-ummi. (sila klik) Mudah-mudahan artikel ini dapat membawa manfaat kepada pembaca semua dalam mencari lailatul qadar, malam yang penuh barakah di bulan Ramadhan.
Namun begitu, perlu diingati bahawa kita mesti istiqamah dalam beribadah, tidak kira waktu. Cuma di bulan Ramadhan Allah telah janjikan,
"perbanyaklah empat perkara pada bulan Ramadhan: dua perkara untuk mendatangkan keredhaan Tuhan kalian; dua perkara lagi yang sangat kalian perlukan. Dua perkara yang pertama ialah mengakui dengan sesungguhnya bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan mohon ampunan kepada-Nya. Dua perkara yang sangat kalian perlukan ialah mohon syurga dan perlindungan dari neraka"


Thursday, September 10, 2009

SURAT MERAH








Selepas naik aje sekolah setelah cuti pertengahan semester 2, mungkin ada di kalangan ibubapa yang terkejut kerana menerima surat cinta berwarna merah. Tak lain tak bukan adalah, surat tuntutan kerana tunggakan yuran. Memandangkan jumlah yang tertunggak yuran melebihi 80 orang, maka terpaksalah pihak pengurusan bertindak sedemikian. Kalau sekadar 2, 3 orang, ana pun boleh pejam sebelah mata. Ana pun faham, bulan raya, banyak persiapan yang perlu dibuat oleh ibubapa untuk menyambutnya tetapi yuran persekolahan anak perlulah dibayar seperti biasa. Yang banyak tertunggak adalah untuk bulan Ogos, tak termasuk untuk bulan September dan pengesahan tahun 2010. Dan yang parahnya, sampai tertunggak 3 bulan, tak termasuk bulan September. Surat tunggakan ini bukannya tidak pernah diedarkan tetapi mungkin sebab tidak berwarna merah, jadi mungkin ibubapa mengambil sikap "tak apa dan tunggulah". Hinggakan gurubesar-gurubesar ana dah "naik segan" nak telefon ibubapa nak tanya tentang tunggakan yuran.
Ana ambil satu kes benar yang berlaku di salah sebuah cawangan bila guru memberikan surat tunggakan putih kepada anak. Anak itu berkata:
"Cikgu, tak payahlah bagi surat lagi, kalau cikgu bagipun, nanti mak akan buang dalam tong sampah aje"
Cikgu menelefon ibu berkenaan. Ibu itu menjawab dengan nada marah:
"Cikgu, saya tahulah nak bayar, Kalau ada duit saya bayarlah". Terkelip-kelip mata cikgu ana dengan jawapan itu, walhal kami minta hak kami yag dahpun 3 bulan tertunggak. Sebab itu ana katakan tadi, cikgu ana dah "baik segan" nak telefon.
Pada suatu hari, ada satu sms hinggap di handphone ana dan tertulis:
"Baru sebulan tunggakan pun dah nak ambil tindakan...mcm mana anak bangsa sendiri nak maju"
Ana terfikir. Apa hubungan tunggakan yuran dengan menolong anak bangsa? Ana cuba menghubungi pengirim sms berkenaan untuk menerangkan keadaan sebenar tapi tak berjaya dan agar diterangkan apa maksud yang tersirat dari yang tersurat dari sms berkenaan. Ketahuilah, bukan tuan/puan seorang aje tak tertunggak yuran, tetapi melebihi 80 orang, jadi hitung2lah berapa yang perlu pihak kami menangung jumlahnya. Itu baru satu bulan. Kalau ada 2 dan 3 bulan, tak ke haru pihak pengurusan.
Pihak tadika mengambil amanah yang telah diberikan oleh ibubapa sekalian dan ana minta juga agar amanah yang kami terima itu tidak disia2kan.
Ana menerima juga beberapa call yang minta jasa baik untuk membayar sebahagian dan sebahagian selepas raya, ana ni bukalah manusia yang zalim dan tidak tahu masalah orang lain, apatah lagi dalam keadaan ekonomi gawat dan banyak kilang-kilang ditutup tapi kenalah berbincanglah. Itulah yang sebaiknya.
Dan ada juga kes yang bayaran Ogos telah dibayar tapi November belum bayar, Itu kami anggap tertunggak juga sebab procedure TPB, yuran November perlu dibayar pada bulan Jun. Jadi bila dah sampai September, itu juga dianggap tertunggak.
Akhir kalam, kepada ibubapa yang menerima surat merah, terima kasih kerana membayar tunggakan tersebut dan sekiranya ada kesalahan pihak kami dalam merekod dan mengemaskini yuran, kemaafan yang ana minta.
Setiap permasalahan, pasti ada jalan penyelesaiannya.



Wednesday, September 2, 2009

BLOG KANAK-KANAK

Hajah Norizan, bekas guru Tadika Pintar Bistari, sahabat ana, ibu kepada bekas murid-murid ana di Sekolah Rendah Islam Pintar Bistari (bekas). Walaupun dah lama "jauh di mata, dekat di hati tapi kami masih berhubungan.
Tahniah buat beliau di atas 'kelahiran' blog kanak-kanak dan sememangnya amat sesuai untuk anak-anak peringkat tadika.
Ana yakin, anak-anak kita pasti menyukai blog ini sebab ianya amat menarik dengan cerita-cerita upin dan ipin, nasyid-nasyid islamik dan pautan-pautan ke website yang dapat mengembangkan minda anak-anak kita.
Klik di sini untuk ke blog 1 Shows The Way
Terima kasih Izan!!!

Monday, August 31, 2009

LAWATAN GURU















Gambar-gambar ini adalah kenang-kenangan sewaktu lawatan guru ke Kuala Lumpur pada 27 & 28 Jun 2009 yang lepas. Pihak tadika menyediakan sebuah bas dengan disertai oleh guru-guru yang senior dan mana-mana yang dah berkahwin tu, boleh bawa pasangan dan anak masing-masing.
Destinasi awal ialah Masjid Putrajaya yang memang terkenal dengan keindahan senibinanya dan kemudian mereka mengelilingi Botanical Garden dengan menaiki trem di samping melihat pemandangan di sekelilingnya yang penuh kehijauan. Kalau nak menapak, jenuh sangat-sangat...
Mereka check-in di Wisma Belia, dan sebelah malamnya meninjau-ninjau (window shopping dan bershopping) di kawasan Jalan Tuanku Abdul Rahman yang sememangnya tempat membeli-belah yang terkenal dan harganya boleh tahan juga. Tetapi kena tahan-tahankan juga sebab keesokan harinya mereka punya agenda SHOPPING SAKAN Di Nilai 3.
Ahad, selepas check-out, mereka ke KLCC. Awal rancangan, ke Menara KL dulu tapi sebab dah ramai yang tak sabar nak ke Aquaria, jadi batalkan aje rancangan tu.
Waktu masuk ke Aquaria adalah 11 pagi. So masa luang yang ada tu, sekadar "window shopping" ajelah sebab tempat standard, hargapun standard jugaklah.
Di Aquaria, tentunya anak-anak teruja melihat hidupan air yang bermacam rupa dan saiznya. Mak Ayah pun sama juga. Yelah, bukan selalu dapat menyelam kat dalam laut tengok ikan. Kalau tengok ikan pun, yang dah nak dibuat lauk. Itupun kecil-kecil aje.
Mereka juga berpeluang melihat 2 penyelam memberi ikan makan. "Feeding Time" adalah masa yang ditunggu-tunggu. Memang menyeronokkan!
Destinasi seterusnya adalah Nilai 3. Disebabkan ana sekeluarga pulang ke Kuantan, so tak dapatlah join sama ke sana. Dengar ceritanya, sarat bas dengan tikar-tikar dan hasil shopping masing-masing. Tak apalah, bukannya selalu. lagipun boss dah bagi bonus.
Walaupun penat berlawatan selama 2 hari, tapi mereka seronok sakan. Dan paling seronok di antara yang seronok tu adalah sebab lawatan ni boss yang sponsor. "FOC"






Thursday, August 27, 2009

PERTANDINGAN UJIMINDA & BERCERITA 2009











Bertarikh 12 Julai 2009, seawal jam 7-30 pagi lagi, sudah ramai ibubapa berkumpul di Dewanraya Masai untuk memberi semangat kepada anak-anak yang menyertai pertandingan ini yang telah dibuat saban tahun sebagai program tahunan. Pada tahun ini, guru-guru cawangan Tmn. Scientex 1 & 2 bergabung tenaga membuat backdrop bertajuk: "In the zoo"

Seperti biasa, pengerusi Tadika Pintar Bistari, Tn. Hj. Ahamed Tamizi berucap dan meminta hadirin sama-sama menyedekahkan Al-Fatihah kepada allahyarham anak beliau, Ziza Amirul Shafiq yang telah pulang ke rahmatullah pada 16 Jun 2009. Seterusnya beliau merasmikan pertandingan ini.

Pertandingan ujiminda ini terbahagi kepada 4 kategori iaitu Bahasa Melayu, Science, Mathematics dan Jawi/Pendidikan Islam yang terdiri daripada gabungan murid-murid 6 tahun dari 7 cawangan Tadika Pintar Bistari bagi setiap kategori. Di pertandingan ini dapat disaksikan kepantasan dan kepintaran murid-murid menjawab soalan dalam setiap kategori. Soalan yang diajukan oleh pembaca soalan terdiri daripada pelajaran-pelajaran yang murid telah pelajari sepanjang semester 1 lepas.

Sementara pertandingan bercerita pula terdiri dari murid-murid 5 & 6 tahun yang membawakan cerita Bahasa Melayu dan Inggeris dengan pelbagai kostum yang menarik. Juga dipersembahkan cerita oleh Adik Uswatun iaitu bekas murid Tadika Pintar Bistari yang mendapat tempat kedua dalam Pertandingan Bercerita Sekolah Rendah Peringkat Negeri Johor. Sementara menunggu keputusan kedua-dua pertandingan, hadirin disajikan dengan persembahan tarian murid-murid 5 tahun dari semua cawangan. Dan pastinya hadirin terhibur dengan gerak-geri sicilik ini.

Alhamdulillah, pertandingan ini berjalan dengan lancarnya dan program ini usai lebih cepat dari yang dirancangkan. Terima kasih kepada semua guru-guru yang bertungkus lumus menjayakan pertandingan ini, juga kepada semua ibubapa yang turut hadir sama memberi sokongan kepada anak-anak dan tidak lupa kepada para pengadil jemputan yang terdiri dari guru-guru dari Sek. Keb. Taman Cendana.













Friday, August 14, 2009

10 PANDUAN MENGISI RAMADHAN ANAK

Begitu cepat waktu berlalu, alhamdulillah, dalam seminggu lagi kita akan menginjakkan kaki ke bulan Ramadhan. Kat luar sana mungkin dah ramai yang buat persiapan, maksud ana, persiapan menyambut raya, bukannya persiapan menyambut Ramadhan. Namun begitu, melatih anak-anak berpuasa semenjak awal lagi perlu diberi keutamaan oleh kita sebagai kedua ibubapa. Berikut ini ada beberapa panduan yang ana rasa berguna buat kita bagi melatih anak-anak berpuasa. Semoga kita semua diberikan kesabaran dalam melatih anak-anak kecil dan berdoalah agar usaha kita mendapat imbalan yang sebaiknya dari Allah SWT.

Shaum (puasa) Ramadhan adalah salah satu rukun dalam Islam. Maka mendidik anak untuk berpuasa Ramadhan menjadi satu kewajiban kepada semua ibubapa. Para sahabat Rasul telah mendidik putra-putri mereka yang masih kecil untuk berpuasa. Seperti yang dituturkan shahabiyah Rubayyi’ binti Mu’awwiz tentang bagaimana cara mereka mendidik anak-anak mereka berpuasa Asyura (sebelum diwajibkan puasa Ramadhan): “…dan kami melatih anak-anak kami yang masih kecil untuk berpuasa. Kami bawa mereka ke masjid dan kami buatkan mereka mainan dari bulu. Apabila diantara mereka ada yang merengek minta makan, maka kami bujuk dengan mainan itu terus hingga tiba waktu berbuka.” (HR. Bukhari Muslim).
Dari riwayat diatas, kita dapat mengetahui bahwa para sahabat memberikan perhatian yang serius dalam melatih putra-putri mereka untuk membiasakan berpuasa. Lantas apa yang dapat kita lakukan saat ini untuk meneladani tradisi sahabat tadi? Ada 10 panduan yang perlu kita perhatikan :

1. Melakukan pengisian tentang menyambut Ramadhan dengan memberi bekalan pemahaman yang memadai tentang keutamaan Ramadhan. Jika pengisian ini dilakukan berulang-ulang sejak sebelum Ramadhan tiba, sangat mungkin akan tumbuh niat yang kuat pada anak untuk berpuasa Ramadhan.

2. Menyambut Ramadhan dengan keriangan dan keceriaan. Rasulullah telah menasihati Abdullah bin Mas’ud untuk menyambut Ramadhan dengan wajah yang berseri dan tidak mencuka. Jika kita perluas keceriaan tadi, dapat juga dengan cara memberi dekorasi yang khas pada keadaan rumah, sehingga anak semakin menyedari akan keistimewaan Ramadhan dibandingkan bulan lainnya. Hal ini akan mendorong mereka untuk berpuasa. Di buat sedemikian rupa sehingga bulan Ramadhan adalah hari-hari yang paling indah untuk dikenang oleh anak hingga mereka remaja dan dewasa. Ini tentu akan lebih mudah tercapai jika ada peranan dari masyarakat umum dan pemerintah dengan menghidupkan syiar-syiar Ramadhan di jalan raya, sekolah, pusat membeli-belah, media massa dan lain-lain.

3. Mengatur waktu tidur anak-anak sehingga akan mudah bangun saat bersahur. Waktu sahur sebaiknya diakhirkan (kira-kira satu atau setengah jam menjelang salat subuh) sebagaimana anjuran Rasulullah. Hikmahnya antara lain agar setelah sahur tidak terlalu lama menunggu waktu subuh.

4. Tidak meletakkan makanan, minuman dan buah-buahan secara terbuka, sehingga akan menggoda mereka untuk segera membatalkan puasanya. Makanan diletakkan pada tempat yang jauh dari perhatian mereka. Hal ini juga sepatutnya diperhatikan oleh restoran dan penjaja makanan di tepi jalan.

5. Terhadap anak yang baru berlatih puasa (belum kuat dan mudah terpengaruh), sebaiknya mereka dijauhkan bermain dari anak-anak yang malas berpuasa. Dan didekatkan dengan anak-anak lainnya yang juga tekun berlatih. Ini perlu dilakukan agar mereka memperoleh rasa kebersamaan, bukan keterasingan kerana puasanya.

6. Melatih berpuasa dengan bertahap dan menjanjikan hadiah sebagai rangsangan. Misalnya di awali dengan izin berbuka sampai jam 10, lalu jam 12 dan seterusnya sampai akhirnya penuh sampai waktu berbuka. Hadiahnya disamping penghargaan dan pujian sebagai anak yang sabar, juga dapat diberikan hadian lain yang beraspek mendidik berupa alat-alat belajar.

7. Dorongan untuk meraih pahala dan syurga dari Allah. Jadi hadiah berbentuk material diatas tak menutupi dorongan ganjaran Allah. “Jika kamu berpuasa, maka kamu ikut membuka pintu pahala dari Allah bagi orangtuamu yang telah mendidikmu untuk berpuasa”. Anak akan senang kerana sekaligus dapat berbuat sesuatu kebaikan untuk orangtuanya.

8. Memberi alternatif pengisian waktu yang tepat dan positif. Baik dengan istirehat/tidur di siang hari (afternoon nap), mahupun dengan alternatif permainan yang mendidik untuk melupakan mereka dengan rasa haus dan lapar yang menyengat. Sebagaimana yang telah dilakukan shahabiyah di masa Rasul. Saat ini sudah ada sekolah Ramadhan untuk anak-anak dan remaja, ini juga alternatif kegiatan yang menyenangkan bagi mereka. Atau ibubapa dapat juga bersepakat dengan anak-anaknya untuk memasang target, bahwa seusai bulan Ramadhan kemampuan mereka mengaji Al Quran harus lancar dan lebih baik. Perhatian kepada Al Quran memang harus lebih besar di bulan Ramadhan, kerana Al Quran diturunkan pertama kali pada bulan ini. Atau mungkin ibubapa dapat pula membacakan kisah-kisah tauladan Islami, atau mendengarkan kaset-kaset cerita Islami.

9. Mengajak anak-anak untuk meramaikan syiar Ramadhan, seperti solat tarawih berjamaah di masjid, mengaji dan mengkaji Quran, menyemak ceramah-ceramah agama, menyuruh mereka menghantar makanan ke masjid untuk orang yang berbuka puasa, lebih menggemarkan berinfak, sedekah dan lainnya.

10. Khusus untuk ibubapa, sekiranya mereka mengambil sikap sambil lewa tentang pendidikan puasa Ramadhan bagi anak-anaknya, maka mereka harus siap bertanggung jawab kepada Allah kelak di akhirat, jika putra-putrinya kemudian melalaikan kewajiban puasa Ramadhan. Oleh karena itu mereka harus memanfaatkan semaksima mungkin pembiasaan puasa Ramadhan bagi anak-anaknya sejak awal lagi. Dengan perhatian yang konsisten dan cara-cara yang bijak, nescaya dapat memupuk kesedaran anak-anak untuk berpuasa. Kesedaran itu tentu akan merupakan tabungan ibadah bagi para ibubapa yang telah mendidik mereka.

Jika hal-hal di atas kita lakukan, maka Insya Allah keberkahan Ramadhan akan turun ke setiap keluarga muslim.Insyallah.





Tuesday, July 21, 2009

BERTEMU KEMBALI......

Assalamulaikum kepada semua yang sentiasa mengikuti blog ini.
Kalau dilihatkan secara mata kasar, semacam tiada perkembangan yang berlaku di TPB. Sebenarnya tidak begitu ya. Program di TPB berjalan seperti yang dirancang di dalam takwim tahunan di samping program-program sampingan yang tidak kurang menariknya.
Cuma disebabkan kekangan waktu, Pn. Shawa tidak dapat mengemaskini blog ini sewaktu ana berada di Yaman.
Insyaallah selagi berada di sini, ana akan cuba kemaskini blog ini. Cuma dalam waktu terdekat ini, ana masih mencari "kekuatan dalaman" selepas kehilangan orang yang ana sayangi.
Semoga Allah memberikan kekuatan, keimanan dan kesabaran kepada ana dalam menghadapi dugaan dariNya.

Saturday, March 28, 2009

SESI PENERANGAN K1 & BAC.ANAKKU

Alhamdullilah dan syukur ke hadrat Illahi, dengan keizinannya program Sesi penerangan K1 & Kaedah Pengajaran Bacalah Anakku bagi sesi 2009 berjalan dengan lancarnya. Program ini diadakan pada 15 Feb (Ahad ) dan bertempat di Ballroom, TS Hotel.
Sambutan daripada ibubapa agak menggalakkan. Penyertaan ibubapa seramai 97 orang. Melalui program ini, ibubapa boleh mengetahui bagaimana bagi teknik pengajaran bacaan Bacalah Anakku yang lebih berkesan dan juga dapat berkongsi pengalaman masing-masing.
Program ini dimulakan dengan sesi taklimat dan post-mortem K1 "Sebulan Berlalu" yang dibentangkan oleh Pn Shawariah. Diikuti dengan slot Sesi penerangan pengajaran Bacalah Anakku yang dibentangkan oleh Pn Siti Norhafizah dan Pn Suhaila.
Reaksi dan respon ibubapa amat membanggakan. Kami, guru-guru berasa terharu di atas keperihatinan ibubapa untuk menghadiri program terbabit.

Antara topik yang menarik dibincangkan ialah :
1) Perbezaan kaedah pengajaran Bac.Anakku ibubapa di rumah dan guru di sekolah.
2) Kekeliruan cara menulis huruf dengan betul ( A hingga Z ).
3) Masalah-masalah berkaitan murid di rumah & di tadika.
4) Cara pendekatan dengan anak-anak lebih efektif.

Alhamdulillah, setelah program ini dilaksanakan, telah terbukti ibubapa yang mengikuti program ini telah berjaya mengajar mengikut teknik yang telah diberikan. Pihak Tadika mengucapkan ribuan terima kasih dan sekalung tahniah kepada ibubapa yang sanggup meluangkan masa untuk menghadiri program ini.
Semoga keikhlasan tuan/puan mendidik anak akan membuahkan hasil dan mendapat keredhaan dari Allah.

Setelah guru-guru bertungkus-lumus menjayakan program ini, kami menjamu selera di TS Hotel.. Terima kasih diucapkan kepada Pn Zainun.. Terima kasih daun keladi..lain kali belanja lagi..


Thursday, January 1, 2009

SELAMAT TAHUN BARU

1 Muharam 1430H

Rasanya tidak terlewat untuk ana mengucapkan selamat tahun baru hijrah. Biasanya bila datangnya tahun baru, ramai yang berazam baru. Nak itu dan ini, pastinya punya matlamat agar kehidupan menjadi lebih baik. Tapi tanpa disedari, azam hanya akan tinggal azam saja sampai ke pengakhirnya tanpa ada perubahan. Kebiasaanya umat Islam seronok menyambut awal muharam ini kerana ada cuti, tetapi berapa ramai di antara kita yang menghayati pengertian HIJRAH itu sendiri. Ana sempat menonton dalam satu rancangan TV3, bagaimana beberapa orang artis Melayu melakukan hijrah iaitu dengan memakai tudung. Baguslah tu tetapi perlu diingat bahawa sebenarnya memakai tudung @ menutup aurat secara sempurna itu adalah satu kewajipan ke atas semua wanita Islam, seperti yang termaktub dalam Al-Quran surah Al-Ahzab ayat 59 & An-Nur ayat 31. Perlu juga kita fahami makna hijrah Rasulullah dari Mekah ke Madinah adalah untuk mendirikan Daulah Islam yang pertama di sana setelah berdakwah di Mekah selam 13 tahun tetapi kaum kafir masih juga tidak mahu menerima Islam iaitu agama yang diredhai oleh Allah.
Azam ana: belajar Bahasa Arab agar dapat bertutur dalam bahasa Al-Quran ini dan berazam untuk menguasai Al-Quran. Mudah-mudahan azam ana ini membuahkan hasil agar dapat dimanfaat bukan aja pada ana tapi oleh masyarakat sekeliling.
Doa ana untuk semua: Taqabballahu minna wa min kum (semoga Allah menerima ibadah dari kami dan dari anda)
Bagi yang berminat untuk membaca lebih lanjut tentang busana muslimah, sila ke link berikut:
http://fikratulummah.blogspot.com

1 Januari 2009

Menjelang detik 12 malam tahun baru 2009, berdentum-dentam bunyi mercun dan bunga api menghiasi kepekatan malam. Begitulah sambutan yang dibuat oleh orang-orang di luar sana tanpa mengira bangsa dan agama. Mereka menyambut tahun baru dengan meriah sekali, percikan bunga api, minum-minum, percampuran lelaki dan wanita (ikhtilath), majlis tari menari, dan macam-macam lagi yang ditegah oleh agama Islam. Malah sambutan tahun baru 2009 ini lebih meriah dari sambutan tahun baru hijrah. Inilah hakikatnya bilamana umat Islam tidak mempunyai matlamat kehidupan dan melupai bahawa selepas ini ada hari yang lain iaitu hari akhirat yang kekal selamanya. Pada malam tahun baru ini akan ramailah anak-anak gadis Islam yang rosak dan umat Islam yang lalai dengan budaya hedonism. Semoga kita dan umat Islam yang lain dijauhkan dari murka Allah seperti apa yang berlaku sewaktu tsunami di Aceh, Indonesia. Nauzubillah hi min zalik!!

TAMAN SCIENTEX (2)













TADIKA PINTAR BISTARI (SRJ 2764)
CAWANGAN TAMAN SCIENTEX (2)
58, JALAN SERINDIT 9, TAMAN SCIENTEX,
81700, PASIR GUDANG.
H/P: 019-7350900


Alhamdulillah, Cawangan Taman Scientex (2) di Amanpuri Elit beroperasi secara rasminya pada 1 Disember 2008 dengan 3 orang guru sebagai permulaannya. Walaupun tadika yang telah diubahsuai ini mempunyai 6 bilik darjah (12 kelas) tetapi pihak pengurusan cuma membuka 4 kelas iaitu 2 sesi pagi dan 2 sesi petang. Walaupun ana target pelajar seramai 70 orang tetapi memandangkan terdapat 9 buah tadika lain yang berdekatan, cawangan Tmn. Scientex (2) berjaya mendapat separuh dari target itu. Tak apelah, rezeki kami untuk tahun 2009 ini hanya sebegitu, insyaallah di tahun mendatang akan bertambah hendaknya. Mudah-mudahan persaingan secara sihat ini mendatangkan manfaat yang banyak kepada penduduk setempat.
Terima kasih ana ucapkan kepada ibubapa yang memberikan kepercayaan kepada warga Pintar Bistari untuk mendidik anak-anak mereka. Insyaallah amanah yang dibebankan ke atas kami, akan kami pikul dan kerjasama dari pihak ibubapa juga amat-amat kami harapkan demi mendapatkan yang terbaik untuk anak-anak ini. Amin